BEIJING 25 Mac – Jumlah kematian disebabkan letupan loji kimia di China meningkat kepada 78 orang hari ini.
Menurut pihak berkuasa tempatan dalam laman sosial Weibo, lebih 500 orang dilaporkan masih berada di hospital yang mana 13 mangsa kritikal manakala 66 lagi parah.
Letupan di bandar Yancheng, wilayah Jiangsu, timur China, Khamis lalu memusnahkan sebuah taman perindustrian dan sehingga menyebabkan tingkap banyak rumah di sekelilingnya pecah.
Majlis Negeri Kabinet China berkata, pihak berkuasa tempatan di seluruh negara telah diarahkan menjalankan penyiasatan komprehensif ke atas syarikat-syarikat yang terlibat dalam pembuatan dan penyimpanan ‘nitration’ susulan kejadian letupan tersebut.
Difahamkan, kerajaan juga kini menjalankan penilaian risiko di taman industri kimia. -AFP











