PARIT BUNTAR – Seorang wanita berusia 24 tahun parah selepas dipukul bapanya dipercayai menggunakan tukul pemecah dinding dalam kejadian di Parit Sungai Melan, Kuala Kurau di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Omar Bakhtiar Yaacob berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan mangsa dipukul dipercayai menggunakan tukul itu daripada pihak Hospital Parit Buntar pada pukul 7.25 malam.
“Siasatan awal mendapati bapa mangsa yang bekerja sebagai tukang rumah itu baru sahaja pulang kerja antara pukul 5.30 hingga 6.30 petang semalam.
“Mangsa ketika itu sedang membaca al-Quran sebelum didatangi bapanya yang secara tiba-tiba bertindak memukul mangsa di beberapa bahagian kepala menggunakan tukul,” katanya ketika ditemui pemberita sebentar tadi.
Tambah Omar Bakhtiar, akibatnya mangsa parah manakala bapanya yang menyesal dengan kejadian itu bertindak menghentakkan kepadanya ke dinding rumah dan turut cedera.
“Suspek turut mengalami keretakan pada tulang tapak tangan kiri akibat tindakannya mencederakan diri sendiri.
“Polis menahan suspek di Hospital Parit Buntar ketika dia mendapatkan rawatan manakala mangsa yang dirawat di Hospital Taiping dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh berikutan kecederaan serius yang dialaminya,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah dengan sengaja. – K! ONLINE










