KUALA LUMPUR 22 Mac – Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia Bhd. antara entiti yang berpotensi untuk membeli Malaysia Airlines Bhd. (MAB) seterusnya memberi nafas baharu kepada syarikat penerbangan tersebut.

Pensyarah Ekonomi Universiti Sunway, Prof. Dr. Yeah Kim Leng berkata, kerajaan kini perlu mengambil pendekatan berbeza untuk menyelamatkan MAB dan antara pilihan selamat adalah modal swasta.
Katanya, sektor swasta dilihat sebagai pelabur ideal kerana memiliki kemampuan untuk memulihkan susulan komitmen yang tinggi dan berorientasikan komersial.
Jelas beliau, bukan sahaja AirAsia, malah mana-mana syarikat penerbangan lain yang memiliki kapasiti juga boleh melabur di dalam MAB.
“Jika AirAsia berminat membeli MAB, ia memberi situasi menang-menang kepada syarikat tersebut yang mana masing-masing adalah syarikat Malaysia.
“Ia akan membentuk syarikat penerbangan tempatan yang lebih kukuh dengan menawarkan pilihan tambang rendah dan penerbangan perkhidmatan penuh,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Utusan Malaysia semalam melaporkan kerajaan akan meneliti pilihan lain yang ada sebelum membuat keputusan untuk menyelamatkan syarikat penerbangan negara, MAB daripada terus mengalami kerugian.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, langkah menyelamatkan syarikat penerbangan tersebut daripada kerajaan juga hanya sebagai pilihan.
Mengenai cadangan menjadikan MAB sebagai syarikat wakaf, Kim Leng berpendapat ia tidak sesuai dengan keadaan semasa kerana terdedah kepada risiko yang tinggi.
“MAB sudah rugi beberapa kali, konsep wakaf adalah baik tapi bukan penyelesaian untuk MAB. Ia terlalu berisiko.
“Perkara penting buat masa ini adalah penstrukturan kos, membolehkan MAB beroperasi dengan baik dan menjana keuntungan dalam jangka panjang,” katanya.











