KUALA LUMPUR 25 Mac – Kesemua Ahli Parlimen pembangkang yang menganggotai Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) meletakkan jawatan serta-merta hari ini.
Mereka yang meletak jawatan adalah dua wakil Barisan Nasional (BN) iaitu Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Dr. Noraini Ahmad dan Ahli Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah serta seorang daripada Pas iaitu Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan.

Perkara itu disahkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memberitahu keputusan itu diambil disebabkan kecewa kerana Pakatan Harapan (PH) tidak menunaikan janji dalam manifesto untuk melantik Pengerusi PAC dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang.
Katanya, keputusan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengekalkan Datuk Seri Ronald Kiandee sebagai Pengerusi PAC jelas bertentangan dengan janji dalam manifesto kerana Ronald telah menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Kalau diteruskan (Ronald sebagai Pengerusi) bermakna Pengerusi daripada PH, Timbalan Pengerusi PAC juga daripada PH. Maknanya, gabungan itu ada kuasa sepenuhnya dalam PAC sedangkan tujuan melantik Ahli Parlimen pembangkang supaya PAC boleh menjadi semak dan imbang berkesan untuk kerajaan.

“Kita nampak ini satu penyelewengan dari segi janji, walaupun kita tahu janji lain tak ditepati tetapi transformasi Parlimen ini diharapkan dapat dilaksana. (Jadi), kita tidak akan berada dalam PAC sehingga kerajaan berikan jawatan pengerusi kepada pembangkang,” katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.
Jumaat lalu, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar turut meletakkan jawatan sebagai ahli PAC kerana tidak berpuas hati dengan pemilihan kepemimpinan PAC berikutan Ronald masih kekal menyandang jawatan Pengerusi PAC walaupun telah melompat daripada UMNO dan menyertai Bersatu pada 15 Mac lalu.
Sementara itu, Takiyuddin menegaskan Dr. Mahathir tidak perlu mencari calon lain bagi menggantikan Ronald kerana sebagai parti pembangkang yang mempunyai kerusi paling banyak dalam Parlimen, UMNO mempunyai hak untuk mengemukakan calon.
Dalam perkembangan sama, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming berkata, sama ada Ronald akan digantikan dengan Ahli Parlimen pembangkang hanya akan diumumkan pada masa yang sesuai.

Katanya, ini kerana pemilihan Pengerusi PAC bergantung kepada kes-kes yang sedang dikendalikan jawatankuasa berkenaan.
“Berikan sedikit masa, kerajaan akan memilih Pengerusi PAC baharu pada masa sesuai memandangkan ketika ini banyak kes yang sedang didengar jawatankuasa tersebut.
“Saya rasa pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat dan kerajaan akan mencari satu masa yang sesuai seperti yang telah diperkatakan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. (Semuanya) terpulang kepada bilakah kes yang sedang didengar PAC itu akan selesai,” ujar beliau.











