KUALA LUMPUR 8 Mac – Pergerakan Belia India Muslim Malaysia (Gepima) menyambut baik usaha kerajaan dengan mewujudkan aplikasi WhatsApp yang bertujuan penyaluran maklumat berhubung isu penghinaan agama dan kebencian kaum.
Presiden kebangsaannya, Syed Osman Mohamed (gambar) berkata, pendekatan tersebut dilihat dapat membuka ruang kepada semua kaum dan agama dalam menyalurkan maklumat secara saksama dan adil.
Katanya, kerajaan juga disaran mengetepikan fahaman politik dalam menangani isu tersebut dengan berpegang kepada konsep Rule of Law seperti yang diperjuangkan sebelum ini.
“Tindakan kerajaan menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) disambut baik Gepima dalam mewujudkan aplikasi WhatsApp bagi menyenangkan umat Islam untuk membuat aduan secara terus bagi tindakan sewajarnya kepada individu yang menghina Nabi Muhammad SAW.
“Ini kerana, perkara berkenaan jelas mengganggu keharmonian kaum dan menyarankan agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof mengambil pendekatan sama bagi membuka ruang kepada semua kaum dan agama.
“Sudah tiba masanya kerajaan perlu lebih bertegas dalam apa jua isu penghinaan kaum tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mujahid dalam kenyataan hari ini memberitahu, kerajaan menerusi Jakim menubuhkan unit pemantau bagi mengawasi penulisan atau provokasi bersifat menghina nabi serta agama Islam di semua platform media termasuk media sosial sekali gus membolehkan semua pihak membuat aduan secara terus ke aplikasi WhatsApp di talian hotline 010-3005260 atau e-mel kepada adu[email protected].
Dalam pada itu, Syed Osman menggesa kerajaan untuk mempercepatkan penggubalan undang-undang membabitkan Akta Kebencian Agama dan Kaum agar dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.
“Adalah sesuatu yang membahayakan jika isu ini berleluasa lagi di masa akan datang dan kami bimbang ada pihak yang akan mengambil tindakan sendiri jika perkara sedemikian berlaku lagi.
“Oleh itu, kami sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memandang serius isu ini dan mempertahankan segala perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan demi agama, bangsa dan negara selain menanamkan semangat keterbukaan dalam menjaga sensitiviti agama dan kaum di negara ini,” ujarnya.
HABIS//











