Adiguru Kraf Ukiran Kayu, Wan Mustaffa meninggal dunia - Utusan Malaysia

Adiguru Kraf Ukiran Kayu, Wan Mustaffa meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT – Tokoh Seni Terengganu, Wan Mustaffa Wan Su, 80, yang terkenal dengan kepakaran sebagai pengukir kayu tradisional meninggal dunia akibat kanser usus hari ini.

Wan Mustaffa yang lebih dikenali sebagai Wan Po meninggal dunia di sisi keluarga di rumahnya di Kampung Alor Lintang di sini pada pukul 10 pagi.

Adiknya, Wan Rusli berkata, abangnya, Wan Po yang dinobatkan Tokoh Seni Negeri oleh kerajaan negeri Terengganu pada tahun 2003 dikesan menghidap kanser usus sejak Oktober tahun lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jenazah Allahyarham abang saya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Alor Lintang di sini,”  katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.

Wan Po yang dilahirkan pada 5 Mei 1969 mula didedahkan dengan seni ukiran tradisional Melayu oleh bapanya, Wan Su yang juga pengukir kayu tersohor negara.

Beliau kemudiannya diamanahkan bapanya untuk mewarisi Balai Seni Wan Su di sini yang merupakan bengkel ukiran kayu terkenal di negara ini.

Antara hasil kerja seni ukiran kayu Wan Po yang terkenal terdapat di Istana Maziah, Kuala Terengganu; Istana Melawati, Putrajaya; Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, Universiti Teknologi Malaysia, Masjid Sultan Abdul Samad, KLIA, Sepang dan Masjid Ulul Albab, Jerteh di sini.

Selain menerima anugerah Tokoh Seni Terengganu, Wan Po turut dilantik sebagai Adiguru Kraf Ukiran Kayu dan menerima Anugerah Karyawan daripada Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia pada tahun 2007.

Beliau juga telah dilantik sebagai mentor Program Seni Kraf Warisan oleh Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) khusus memberi latihan dan bimbingan seni ukiran kayu kepada belia Terengganu.

Dewan Bahasa dan Pustaka juga telah memberi kepercayaan kepada Wan Po sebagai salah seorang pengkaji istilah bahasa bagi bidang ukiran kayu berdasarkan kepakaran dan pengalaman dimiliki beliau. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini