KUALA LUMPUR 10 Mac – Harapan negara untuk menyaksikan gandingan muda negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menamatkan kemarau kejuaraan 12 tahun di Kejohanan Badminton Siri Jelajah Dunia Super 1,000 All England tidak kesampaian selepas tewas dalam aksi final, hari ini.
Gandingan muda negara yang pertama kali beraksi di kejohanan badminton berprestij itu menampilkan aksi cemerlang sepanjang kejohanan termasuk menundukkan beberapa nama besar termasuk bekas juara dunia dari China, Liu Cheng-Zhang Nan selain pilihan kelima dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen untuk melangkah hingga ke aksi final.
Bagaimanapun, pengalaman membezakan mereka apabila terpaksa akur dengan kecemerlangan strategi permainan yang ditampilkan juara dunia dua kali dari Indonesia, Muhammad Ahsan-Hendra Setiawan apabila tewas 21-11, 14-21, 12-21 dalam tempoh 48 minit.
Walaupun masih muda, mereka berjaya menampilkan aksi cemerlang khususnya pada set pertama dengan memaksa Hendra melakukan banyak kesilapan di jaring bagi meraih kemenangan namun semuanya berubah pada set kedua yang menyaksikan mereka tidak mampu menandingi pengalaman yang dimiliki jagoan Indonesia itu yang mengheret permainan ke set penentuan.
Pada set terakhir, ketangkasan fizikal yang dimiliki Aaron-Wooi Yik tidak mencukupi untuk menandingi strategi permainan Ahsan-Hendra yang kelihatan tenang dalam mengatur serangan bagi meraih mata bagi merangkul kejuaraan di Arena Birmingham.
Keputusan yang diraih itu sekali gus menyaksikan mereka gagal untuk mengulangi kecemerlangan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong yang menjadi satu-satunya pasangan beregu lelaki negara yang berjaya melangkah ke pentas final dan menjadi juara di All England pada 2007.
Aksi All England kali ini menyaksikan pelbagai kejutan besar berlaku dengan penyingkiran nama-nama besar di peringkat awal termasuk juara dunia lima kali dari China, Lin Dan; pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio, Chen Long; juara dunia 2013, Ratchanok Intanon (perseorangan wanita) dan beregu lelaki No.1 dunia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo.-UTUSAN ONLINE











