JERANTUT – Lebih 300 umat Islam menyertai Himpunan Bantah Penghinaan Terhadap Nabi Muhammad SAW sebaik selesai solat Jumaat di pekarangan Masjid Tengku Ahmad, di sini hari ini.
Himpunan anjuran Pekida Jerantut itu turut disertai oleh ketua-ketua parti politik dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Islam peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.
Pengerusi Pekida Jerantut, Ishak Ayob berkata, program tersebut bertujuan melahirkan rasa tanggungjawab umat Islam di daerah ini dalam usaha mencegah kejadian penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW dan agama Islam.
“Kita amat berdukacita dengan tindakan biadab segelintir individu dari agama lain yang menghina Nabi Muhammad SAW di media sosail terutama Facebook.
“Mereka bukan sahaja memuatnaik status menghina malah disertakan dengan karikatur yang mengguris hati umat Islam seluruh negara,” katanya kepada Kosmo! Online hari ini.
Menurutnya, pihak berkuasa dan kementerian terlibat perlu lebih tegas menangani isu berkenaan yang dilihat semakin menjadi-jadi biarpun beberapa tangkapan telah dibuat.
“Kita tidak menghina agama lain jadi mereka juga perlu menghormati Islam dan kami akan bersatu tenaga untuk membanteras gejala ini,” ujarnya.
Selain Ishak, tiga lagi individu turut menyampaikan ucapan bagi membangkitkan semangat perjuangan umat Islam iaitu Ketua UMNO Bahagian Jerantut merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah; Yang Dipertua Pas Jerantut, Yohanis Ahmad dan
Exco Sekretariat Penyatuan Ummah Malaysia, Mohd Izzat Johari.
Program tersebut diakhiri dengan bacaan doa yang diketuai oleh ADUN Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin. – K! ONLINE











