2 lelaki ditahan ceroboh Hutan Simpan Gunung Raya - Utusan Malaysia

2 lelaki ditahan ceroboh Hutan Simpan Gunung Raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI 13 Mac – Dua lelaki termasuk seorang warga emas ditahan Jabatan Perhutanan negeri kerana dipercayai menceroboh Hutan Simpan Gunung Raya, di sini untuk tujuan mendirikan rumah.

Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Perhutanan negeri, Abd. Ramli Izauyahhudin berkata, dua lelaki masing-masing berumur 70 dan 40 tahun itu ditahan kira-kira pukul 10.30 pagi semalam hasil risikan dan maklumat awam.

Menurutnya, lelaki berusia 70 tahun itu dipercayai mengupah seorang lagi suspek untuk menebang, membersih dan meratakan tanah hutan secara haram dalam Kompartmen 5 di gunung tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Berdasarkan siasatan awal, kedua-dua suspek terlibat menjalankan aktiviti tebangan pokok, penerokaan dan pembersihan kawasan dalam Hutan Simpanan Kekal iaitu di Kompartmen 5 Hutan Simpan Gunung Raya.

“Suspek menjalankan aktiviti tersebut dipercayai bagi tujuan mendirikan premis rumah. Dianggarkan kira-kira 0.3 hektar kawasan hutan telah dibersihkan dan pokok dikawasan tersebut telah ditebang tanpa kebenaran,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

SEBUAH jengkaut yang digunakan untuk membersihkan kawasan hutan secara haram di Hutan Simpan Kekal G
SEBUAH jengkaut yang digunakan untuk membersihkan kawasan hutan secara haram di Hutan Simpan Kekal Gunung Raya di Langkawi, Kedah, semalam. – UTUSAN ONLINE/ Ihsan Jabatan Perhutanan

Tambah Abd. Ramli, kedua-dua suspek dipercayai mula meneroka kawasan tersebut sejak seminggu lalu dan nilai kerugian mencecah sehingga RM50,000 setakat ini.

Ujar beliau, kedua-dua lelaki itu dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi sebelum satu laporan polis dibuat bagi tujuan siasatan lanjut oleh Jabatan Perhutanan negeri.

“Pasukan penguatkuasa turut menyita dan merampas sebuah jengkaut jenis Sumitomo yang digunakan bagi menjalankan aktiviti tersebut,” ujarnya.

Kata Abd. Ramli lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 81(1)(b) kerana menebang, memotong, mengelang, menanda, menutuh atau menoreh mana-mana pokok atau merosakkan dengan api, jika didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000.00 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Selain itu, Seksyen 81(1)(g) kerana menceroboh hutan simpanan kekal. Jika didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000.00 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Seksyen 47(1) kerana memasuki hutan tertutup tanpa kebenaran, yang ika didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000.00 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Seksyen 50 (1) kerana menggunakan kenderaan bermotor di dalam jalan hutan yang jika didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 10,000.00,” katanya lagi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini