KOTA BHARU – Seramai 19,300 pesawah di tiga negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Sabah terjejas teruk akibat masalah kekurangan bekalan air ketika musim kemarau ini.
Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Sallehuddin Hassan berkata, daripada jumlah berkenaan, majoriti pesawah yang terjejas ini adalah di Kelantan.
“Pesawah di Kelantan terjejas teruk kerana sumber air adalah dari sungai berbanding kawasan lain mempunyai sumber air yang sempurna dan bekalan air yang banyak.
“Oleh itu, kita akan berbincang bagi membantu meningkatkan keupayaan bekalan air kerana masalah ini mungkin akan menyebabkan pengeluaran padi menurun pada musim pertama ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018 dan Jasamu Dikenang KADA di Hotel Perdana, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salim Parlan dan Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) Kada, Nik Roslan Idris.
Dalam pada itu, Mohd. Sallehuddin berkata, walaupun tanaman padi dapat bertahan selama dua minggu tanpa bekalan air namun pihaknya akan membantu menyelesaikan masalah bekalan air.
“Mana-mana kawasan yang tiada bekalan air kita akan sediakan telaga tiub. Setakat ini, sudah ada 200 unit dan akan ditambah 100 unit lagi dalam masa terdekat.
“Kita juga menyerahkan pam mudah alih kepada pesawah. Kita akan segera kerana kita tidak mahu sehingga air kering,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya turut memuji pihak Kada yang telah mengambil langkah awal untuk mengatasi masalah musim kemarau yang melanda pesawah. – K! ONLINE











