KULAI – Polis menahan 143 individu dan 61 buah kereta atas pelbagai kesalahan dalam Ops Cegah Lumba Haram di Indahpura dekat Kulai malam tadi.
Dalam operasi bermula pada pukul 11 malam itu, semua individu yang ditahan berusia 18 hingga 40 tahun.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superitendan Tok Beng Yeow berkata, kereta dan individu yang ditahan dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai untuk tujuan dokumentasi, pemeriksaan awal dan tindakan saman.
Menurutnya, daripada 60 buah kenderaan yang ditahan, sebanyak 20 kereta telah disita.
“Hasil pemeriksaan awal yang dijalankan, polis mengeluarkan sebanyak 116 saman atas pelbagai kesalahan iaitu tujuh saman kerana tiada lesen memandu, 24 saman ubahsuai ekzos dan 61 saman kerana menghalang lalu lintas.
“Selain itu, cukai jalan tamat tempoh sebanyak enam saman, tidak mempamerkan Lesen P sebanyak tiga saman dan 15 saman kerana menggunakan nombot plat pendaftaran yang tidak menepati spesifikasi ditetapkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beng Yeow berkata, operasi itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota polis Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik IPD Kulai. – K! ONLINE











