KUALA LUMPUR 30 Mac – Dianggarkan lebih 1,000 ekor gagak berjaya ditembak dalam operasi anjuran Majlis Perbandaran Subang Jaya di kawasan SS15 dari pukul 8 pagi hingga 7 petang ini.
Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Mohd. Zulkurnain Che Ali berkata, tindakan pengawalan spesies itu disertai oleh 14 penembak berdaftar sebagai langkah kawalan penyakit bawaan burung itu dan pencemaran kawasan awam.
“Operasi berskala dan tindakan daripada aduan orang ramai itu memberi tumpuan kepada kawasan yang menjadi habitat gagak.
“Langkah-langkah keselamatan telah dilakukan sepanjang operasi dijalankan termasuk pemberitahuan kepada orang ramai dan penduduk sekitar kawasan terlibat,’’ katanya.
Sementara itu, majlis penutup bagi pengiraan hasil gagak dan penyampaian hadiah akan disempurnakan Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan di Dewan Serbaguna SS15, pukul 7.15 malam ini. – UTUSAN ONLINE











