JOHOR BAHRU 6 Mac – Johor akan melalui dekad emas dalam tempoh 10 tahun akan datang sekali gus perkembangan menggalakkan itu tidak patut direncatkan.
Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, perkembangan itu adalah berdasarkan Laporan Perangkaan Malaysia mengenai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi negeri ini.
“Tempoh 10 tahun akan datang ia dikenali sebagai Golden Decade untuk Johor. Mengikut Laporan Perangkaan Malaysia, KDNK Johor adalah sebanyak 6.2 peratus bagi tahun 2017.
“Jumlah itu adalah peningkatan daripada 5.7 peratus tahun sebelumnya yang mana melepasi KDNK kebangsaan yang merekodkan sebanyak 5.9 peratus,” katanya menerusi laman Twitter peribadinya, sebentar tadi.
Tunku Ismail berkata, keadaan itu menjadikan Johor merupakan negeri mempunyai potensi besar yang mana turut membekalkan 43.2 peratus tenaga kerja.
“Kerajaan Johor di bawah pimpinan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar telah melakukannya dengan baik.
“Mengapa perlu hentikan Johor dari terus berkembang? Negeri Johor telah memberikan sumbangan yang besar kepada ekonomi negara,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya penyekatan dibuat kepada kemajuan Johor juga seumpama menyekat peluang menjana pendapatan kepada negara.
Terdahulu, beliau membalas satu tweet daripada pengikutnya, Tunku Ismail turut mendedahkan Johor telah menyumbangkan sebanyak lebih 40 billion kepada kerajaan Persekutuan setiap tahun.
“Memang niat daripada dulu taknak lihat Johor maju. Apabila Johor maju daripada segi ekonomi, ia baik kepada Malaysia. Setiap tahun Johor menyumbang 46 ke 47 billion kepada kerajaan Persekutuan.
“Dipulangkan balik kepada negeri dua billion sahaja untuk jaga negar, itu adalah rompakan terang-terangan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











