KUALA LUMPUR 20 Feb. – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas satu pertuduhan baharu melibatkan pecah amanah wang berjumlah RM260,000 milik Yayasan Akalbudi, tiga tahun lalu.
Zahid, 66, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan tambahan itu selesai dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.
Dengan penambahan pertuduhan tersebut, ia menjadikan pertuduhan terkini bekas Timbalan Perdana Menteri menjadi 47 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.
Mengikut pertuduhan, Zahid sebagai pemegang amanah dana yayasan itu didakwa melakukan pecah amanah terhadap wang berjumlah RM260,000 dengan membuat bayaran kepada syarikat TS Consultancy & Resources.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad Cawangan Jalan Bunus, No. 133, Jalan Bunus melalui Jalan Masjid India di sini pada 23 Disember 2016.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dengan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan. – UTUSAN ONLINE











