LONDON 23 Feb. – Presiden kelab Paris Saint-Germain (PSG), Nasser Al-Khelaifi menegaskan bahawa Arsene Wenger tidak akan dilantik sebagai pengarah sukan kelab berkenaan.
Sebelum ini timbul cadangan bahawa dia akan menggantikan Antero Henrique sebagai pengarah sukan baru untuk skuad Ligue 1 itu namun khabar angin itu segera dinafikan Al-Khelaifi.
“Media sering mengatakan bahawa Arsene Wenger akan tiba untuk mengambil alih tugas ini dan bagi saya ia melampau, berilah kami ruang untuk melaksanakan kerja.
“Saya mempunyai hubungan yang sangat baik dengan Arsene Wenger.
“Bagi saya dia seorang pengurus dan jurulatih yang hebat dan dia mempunyai pengetahuan yang tajam dan lengkap tentang bola sepak.
“Bagaimanapun kami sudah mempunyai Pengarah Sukan sendiri iaitu Antero Henrique, dan saya mempunyai keyakinan tinggi terhadapnya.
“Antero telah melakukan tugasnya dengan sangat baik. Dia akan terus bersama kami, dia akan kekal menggalas tanggungjawab itu,” kata Al-Khelaifi.
Sejak menamatkan meletakkan jawatan sebagai pengurus Arsenal pada tahun lepas, Wenger tidak menyandang sebarang jawatan bersama mana-mana kelab. – AGENSI










