SERDANG – Kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) harus menaikkan kembali imej serta kewibawaan jabatan tersebut sebagai sebuah organisasi pembangunan masyarakat luar bandar.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Kemas perlu mara ke hadapan sebagai agensi utama penggerak perubahan masyarakat di luar bandar.
“Semua kakitangan perlu meningkatkan prestasi kerja, sentiasa lakukan perubahan serta fleksibel dalam setiap tindakan.
“Dalam pada itu, mereka juga harus memberi fokus sepenuhnya terhadap penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat selaras dengan aspirasi Kemas sebagai Penggerak Kesejahteraan Masyarakat Luar Bandar,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Perdana Sambutan Hari Kemas 2019 di Dewan D,
Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R.Sivarasa; Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Ketua Pengarah Kemas, Datuk Amiruddin Ariffin.
Perhimpunan yang julung kali diadakan itu adalah bertujuan untuk menerangkan hala tuju dan peranan anggota Kemas sebagai sebuah agensi yang bertanggungjawab dalam memajukan masyarakat luar bandar.
Sehingga Januari 2019, kakitangan Kemas adalah seramai 17,905 orang yang terdiri daripada kakitangan tetap dan kakitangan Berjawatan Sementara Kontrak Tetap. – K! ONLINE










