Warga emas patah bahu tembok hempap rumah - Utusan Malaysia

Warga emas patah bahu tembok hempap rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki warga emas patah bahu manakala isterinya menerima enam jahitan pada kaki selepas dinding konkrit penahan tebing jalan kawasan perumahan di Kampung Sungai Buloh di sini, tumbang petang semalam.

Dalam kejadian pada pukul 5 petang itu, mangsa, Azizan Ibrahim dan isterinya, Rahimah Mohamad masing-masing berusia 73 tahun berada di dalam rumah yang didiami mereka sejak 30 tahun lalu.

Menurut anaknya, Azhar Azizan, 47, ketika kejadian hujan lebat melanda kawasan Johor Bahru menyebabkan air melimpah di kawasan perumahan baharu di Taman Desa Harmoni.

“Pada ketika itu saya berada di luar rumah untuk meninjau keadaan memandangkan hujan lebat dan angin kencang manakala emak dan ayah saya berada di dalam rumah.

“Tembok penahan tebing jalan kawasan perumahan berhampiran tiba-tiba runtuh lalu menghempap rumah kami,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.

tembok runtuh
Kejadian berlaku ketika hujan lebat melandan kawasan Johor Bahru.

 

Azhar berkata, menyedari kejadian itu dia bergegas menyelamatkan ibu dan ayahnya sebelum mendapati mereka terbaring di bawah runtuhan di dalam salah sebuah bilik rumah tersebut.

Katanya, ibu dan bapanya kemudian dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Saya bersyukur kedua-dua orang tua saya tidak mengalami kecederaan teruk dan saya reda dengan kejadian ini.

“Semua kelengkapan rumah rosak dan buat sementara ini, ibu dan ayah saya tinggal bersama adik-beradik yang lain manakala saya akan tetap berada di sini,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN