JOHOR BAHRU 18 Feb. – Sepasang suami isteri cedera parah selepas dinding konkrit penahan tebing jalan kawasan perumahan di Kampung Sungai Buloh di sini, tumbang petang semalam.
Dalam kejadian pukul 5 petang itu, mangsa, Azizan Ibrahim dan isterinya, Rahimah Mohamad masing-masing berusia 73 tahun berada dalam rumah yang didiami mereka sejak 30 tahun lalu.
Azizan patah bahu manakala isterinya menerima enam jahitan pada kaki dan kejadian tersebut disedari anak lelaki pasangan tersebut.
Menurut anaknya, Azhar Azizan, 47, ketika kejadian hujan lebat melanda kawasan Johor Bahru menyebabkan air melimpah di kawasan perumahan baharu di Taman Desa Harmoni.
“Pada ketika itu saya berada di luar rumah untuk meninjau keadaan memandangkan hujan lebat dan angin kencang manakala emak dan ayah saya berada dalam rumah.
“Tembok penahan tebing jalan kawasan perumahan berhampiran tiba-tiba runtuh lalu menghempap rumah kami,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menyedari kejadian itu dia bergegas menyelamatkan ibu dan ayahnya sebelum mendapati mereka terbaring di bawah runtuh dalam satu daripada sebuah bilik di rumah tersebut.
Katanya, bapanya mengalami kecederaan patah bahu kiri manakala ibunya cedera pada kaki sebelum kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini.
“Saya bersyukur kedua-dua orang tua saya tidak mengalami kecederaan teruk dan saya reda dengan kejadian ini.
“Bahagian dapur rumah musnah dan buat sementara ini, ibu dan ayah saya tinggal bersama-sama adik-beradik yang lain manakala saya berada di sini,” katanya. – UTUSAN ONLINE








