KANGAR – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Langkawi menahan seorang lelaki warga emas bersama 17 tong plastik air ketum selepas menyerbu sebuah rumah di Kuala Sanglang di sini semalam.
Dalam operasi Ops Landai kira-kira pukul 11.30 pagi itu, PPM turut menemui sebanyak 72 botol ubat batuk.
Pegawai Pemerintah PPM Langkawi, Deputi Superintendan Rohizan Mohamad Saaid berkata, bertindak atas maklumat risikan, pihaknya menyerbu rumah tersebut dan menahan seorang lelaki berusia 60 tahun.
“Suspek ditahan selepas kita menemui 17 tong plastik berisipadu 10 liter cecair hijau disyaki air ketum yang telah diproses serta 72 botol ubat batuk jenama dynadryl syrup di dalam sebuah bilik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata beliau, air ketum dan ubat batuk yang dianggarkan bernilai RM3,000 itu dibawa ke Balai Polis Simpang Empat untuk laporan rampasan.
“Kes dan barang rampasan diserahkan ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar untuk tindakan dan siasatan lanjut di bawah Akta Racun 1952,” ujarnya. – K! ONLINE











