IPOH 22 Feb. – Seorang wanita warga emas ditemukan mati selepas terjatuh ke dalam longkang setinggi lebih dua meter di Taman Pakatan Jaya di sini hari ini.
Mayat T. Kaliselve, 65, itu ditemukan dalam keadaan tersembam di dalam longkang oleh seorang wanita kira-kira pukul 9.20 pagi.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, kejadian dipercayai berlaku semasa mangsa hendak membuang sampah dan mengutip botol-botol kosong di belakang rumahnya untuk dijual.
Katanya, mangsa yang tinggal seorang diri di rumah sementara anaknya keluar bekerja itu hampir setiap hari akan ke lokasi kejadian untuk mengutip bahan buangan.
“Mangsa dijumpai dalam keadaan tersembam di dalam longkang itu oleh seorang wanita yang ingin membuang sampah yang kemudiannya meminta bantuan seorang lelaki lain untuk menghubungi pihak polis.
“Pemeriksaan terhadap mangsa oleh pegawai perubatan mengesahkan wanita itu telah meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat,” katanya, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











