Wanita PKR sudah senarai pendek beberapa calon - Utusan Malaysia

Wanita PKR sudah senarai pendek beberapa calon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 19 Feb. – Wanita PKR telah menyenarai pendek beberapa calon daripada sayap parti itu untuk dipertimbangkan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Negeri Sembilan yang bakal diadakan nanti.

Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin berkata, pihaknya amat konsisten dalam mengalakkan dan mengetengahkan calon wanita kerana masih terdapat kekurangan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang terdiri daripada golongan tersebut.

Sehubungan itu, katanya, kepemimpinan parti harus mengalakkan lagi calon-calon wanita untuk diberi peluang menjadi pemimpin.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Wanita PKR sudah ada beberapa nama yang akan dikemukakan bagi pertimbangan. Semua calon ini berasal dari Negeri Sembilan dan ia amat penting bagi kami untuk mempunyai calon tempatan dalam PRK kali ini.

“Saya sudah ada tiga nama calon wanita yang telah disenarai pendek oleh Wanita PKR dan bukannya parti,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Perasmian Penutup Forum Bandar Malaysia 2019 di sini hari ini.

Semalam, Datuk Seri Mohamad Hasan hilang kerusi DUN Rantau selepas gagal dalam ra­yuannya untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya Seremban yang mengisytiharkan keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 membabitkan kerusi tersebut terbatal dan tidak sah.

Sehubungan dengan itu, PRK DUN Rantau perlu diadakan dalam masa terdekat.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara, Tan Sri Ri­chard Malanjum yang bersidang bersama Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Seri David Wong Dak Wah, Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin, Datuk Rohana Yusuf dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan untuk menolak rayuan Mohamad dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) atas alasan rayuan yang dibuat tidak mempunyai merit. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×