KUALA LANGAT 22 Feb. – Bagi meningkatkan lagi penampilan agar lebih menarik, masyarakat Orang Asli dari Kampung Bukit Tadom dekat sini mengikuti kursus tatarias, penjagaan kulit wajah dan kesihatan anjuran Pusat Wanita Berdaya (PWB) Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil.
Penyelia PWB DUN Dengkil, Noranita Mat berkata, program tersebut merupakan inisiatif sulung pihaknya untuk menyantuni warga Orang Asli dalam aspek meningkatkan kualiti kehidupan seharian mereka.
“Program ini merupakan yang pertama untuk tahun ini di sini dan kita mempunyai 23 PDM lain untuk kita anjurkan program-program khusus untuk wanita pada masa akan datang.
“Kursus jangka pendek ini diadakan bagi memberi kemahiran tambahan kepada masyarakat di sini dalam meningkatkan aspek penampilan diri sendiri seterusnya memberi peluang kepada peserta untuk menjana pendapatan,” katanya di sini, baru-baru ini.
Yang hadir sama ialah Ketua Kampung Orang Asli Bukit Tadom, Batin Hadi Anak Jembik dan Ketua Kampung Labuhan Dagang, Mohamad Badron Abdul Fatah.
Noranita menambah, selain kursus tersebut, pihaknya turut memberi panduan kepada kaum wanita setempat untuk lebih memberi perhatian kepada penjagaan kebersihan diri terutama melibatkan anggota reproduksi wanita.
Sementara itu Hadi berkata, program sedemikian amat baik untuk kaum wanita Orang Asli dalam meningkatkan penampilan dan kebersihan diri.
“Program sebegini amat baik untuk penduduk Orang Asli meningkatkan penampilan diri dan juga memastikan mereka mendapat panduan yang betul, bagaimana menjaga kebersihan diri dan keluarga,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










