Wanita cemas disamun dua lelaki berparang - Utusan Malaysia

Wanita cemas disamun dua lelaki berparang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMPANG JAYA – Seorang wanita warga tempatan berdepan detik cemas selepas disamun dua lelaki dengan bersenjatakan sebilah parang di Jalan Bunga Melati, Taman Seraya, Pandan Indah di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.25 malam itu, mangsa yang berusia 26 tahun berkenaan dipercayai disamun ketika keluar dari rumahnya untuk menuju ke keretanya sebelum didatangi dua lelaki menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha 125z berwarna biru.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, salah seorang suspek kemudian telah turun dari motosikal yang diboncengnya sebelum mengejar mangsa dengan menggunakan sebilah parang.

“Mangsa yang terkejut kemudian telah melemparkan beg tangannya sebelum melarikan diri. Suspek yang telah turun dari motosikal tersebut mengambil beg berkenaan sebelum menghilangkan diri.

“Siasatan awal mendapati, sebuah lagi motosikal jenis yang sama berwarna kuning dinaiki dua lelaki dipercayai turut terlibat dalam kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan namun kerugian dianggarkan bernilai RM150 dan siasatan sedang giat dijalankan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan dan bersenjata. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN