Wan Saiful Pengerusi Bersatu, PH Perlis? - Utusan Malaysia

Wan Saiful Pengerusi Bersatu, PH Perlis?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU 6 Feb. – Wan Saiful Wan Jan dilihat adalah individu paling sesuai dilantik sebagai Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pakatan Harapan (PH) Perlis bagi menggantikan Ameir Hassan yang dipercayai telah ditamatkan jawatan tersebut.

Seorang pemerhati politik, Prof. Madya Dr. Rusdi Omar berkata, Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu merupakan seorang pemimpin yang berwibawa selain mempunyai visi dan misi untuk masa depan Bersatu serta PH di Perlis.

Katanya, Bersatu dan PH Perlis memerlukan pemimpin seperti Wan Saiful bagi bersaing dengan pemimpin-pemimpin pembangkang di negeri ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dalam masa sama, beliau (Wan Saiful) juga mempunyai hubungan baik dengan pucuk pimpinan di peringkat Pusat selain merupakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Prof. Madya Dr. Rusdi Omar
Prof. Madya Dr. Rusdi Omar

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan Ameir yang juga Ketua Bersatu Bahagian Arau dipercayai telah ditamatkan jawatan sebagai Pengerusi Bersatu dan PH negeri.

Menurut sumber dalaman parti itu di negeri ini, penamatan jawatan Ameir itu telah dimaklumkan oleh Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya, baru-baru ini.

Kata sumber itu, difahamkan penamatan jawatan tersebut adalah berkaitan dengan kemelut yang melanda Bersatu negeri sebelum ini.

Sebelum ini, Bersatu Pusat memutuskan untuk mengambil alih kepemimpinan parti itu di Perlis sehingga kemelut yang melanda Bersatu negeri berkenaan selesai.

Sementara itu, Rusdi yang juga Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) berpendapat, tiada masalah untuk presiden parti itu melantik Wan Saiful sebagai Ketua Bahagian di mana-mana kawasan terlebih dahulu sebelum melayakkannya memegang jawatan Pengerusi Bersatu negeri.

“Kalau kita lihat, Wan Saiful adalah pemimpin yang berintegriti dan amanah sepanjang menjalankan tugas sebagai setiausaha Bersatu Perlis sebelum dipecat oleh Ameir,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini