[VIDEO] Sazali harap hospital dibina di Semenyih - Utusan Malaysia

[VIDEO] Sazali harap hospital dibina di Semenyih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU LANGAT 22 Feb. – Dalam puluhan ribu penduduk di Semenyih, ada individu cukup istimewa yang sudah lama tinggal di sebuah kampung berhampiran pekan Semenyih.

Namanya disebut-disebut sejak sekian lama, malah menjadi siulan zaman ke zaman serta diterbitkan pula sebuah filem bersempena namanya.

Sazali P. Ramlee, 60, anak angkat kepada seniman agung negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee merupakan insan istimewa tersebut.

Ketika ditemui Utusan Malaysia di kediamannya di Kampung Sentosa, Semenyih di sini, kesihatan Sazali nampak baik cuma pergerakannya sedikit perlahan serta menggunakan tongkat.

Keadaannya itu gara-gara pembedahan di lutut yang dilakukannya susulan kejadian dia terjatuh basikal semasa mahu pulang ke rumah dari tempat kerja penghujung tahun 2011.

Dia juga perlu ke hospital sama setiap bulan bagi mene­mani isterinya, Hamidah Hitam, 56, yang mendapatkan rawatan susulan selepas menjalani pembedahan di bahagian tulang belakang, lima bulan lalu.

“Kehidupan kini baik-baik sahaja, cuma perbelanjaan kini ba­nyak digunakan bagi menampung perbelanjaan ulang-alik ke hospital sahaja. Kadangkala adik ipar tolong hantarkan, ada juga saya gunakan Grab sahaja, belanja kira-kira RM45 juga sekali perjalanan.

“Alhamdulillah, saya dapat bantuan Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) serta pihak zakat. Mujur juga saya dapat bahagian bagi pembayaran ro­yalti hasil karya P. Ramlee. Wang inilah yang digunakan untuk pelbagai urusan seharian,” katanya yang merupakan bekas pekerja am Alam Flora Sdn. Bhd.

Sementara itu, menyentuh kerancakan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Sazali yang sudah kira-kira 30 tahun tinggal di Semenyih berharap calon dipilih nanti dapat mengutamakan kepentingan rakyat.

“Berbanding dahulu, Semenyih kini sudah banyak membangun, banyak kemudahan dibina termasuk bangunan kedai dan banyak rumah dibangunkan di sini.

“Namun saya harap sebuah hospital dapat dibina di Semenyih untuk kegunaan penduduk di kawasan ini yang semakin bertambah,” katanya yang me­ngakui dikunjungi jentera kempen Barisan Nasional (BN).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN