PETALING JAYA – Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hadir ke Balai Polis Sungai Way di sini bagi membuat satu laporan polis berhubung insiden serangan secara fizikal ke atasnya oleh penyokong Barisan Nasional (BN) di Dewan Seri Cempaka di Semenyih pagi tadi.
Menurut Syed Saddiq, dalam kejadian sekitar pukul 11.30 pagi itu, beliau dan tiga lagi rakannya sedang dalam perjalanan menuju ke tempat letak kereta sebaik selesai proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.
“Ketika dalam perjalanan kami telah dikerumuni oleh sekumpulan penyokong BN yang sebelum itu menghemburkan kata-kata kesat dari seberang jalan.
“Ketika sedang dikerumuni oleh penyokong BN yang berterusan membuat provokasi, seorang Exco Pemuda Umno, Papagomo, secara tiba-tiba berlari ke arah saya dan mencekak bahagian belakang leher saya dengan ganas menggunakan tangan kirinya,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Jelas Syed Saddiq, beliau tidak mengetahui niat sebenar Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris bertindak demikian namun menurutnya memang ada ugutan yang dikeluarkan.
“Papagomo turut mengugut agar jangan cari pasal atau jangan datang dekat mereka namun kami tetap meneruskan perjalanan selepas dia ditolak oleh anggota polis dan Unit Amal Pas yang berada di lokasi kejadian membantu meleraikan kekecohan.
“Kami meneruskan perjalanan ke kereta dan terus pandu keluar dari kawasan tersebut sambil dikejar lagi oleh penyokong BN. Selepas ini saya akan ke hospital utuk membuat pemeriksaan kesihatan,” katanya.
Ujar beliau lagi, isu memasuki kawasan pihak lawan tidak benar sama sekali memandangkan proses penamaan calon telah selesai, laluan sudah dibuka dan semua orang sedang dalam perjalanan ke kereta masing-masing untuk pulang.
“Jika dilihat daripada video yang ada jelas menunjukkan mereka yang datang menyerbu saya.
“Tindakan sebegitu adalah salah kerana turut melibatkan serangan secara fizikal dan saya akan menyerahkan perkara ini kepada pihak polis untuk melakukan siasatan,” jelas beliau.
Terdahulu tular satu klip video memaparkan Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar dikerumuni ahli penyokong BN sewaktu sedang dalam perjalanan menuju ke keretanya selepas selesai sesi penamaan calon bagi PRK DUN Semenyih.
Video berdurasi 22 saat itu menunjukkan Syed Saddiq diiringi oleh anggota polis serta anggota Unit Amal Pas sambil dikejar oleh sekumpulan lelaki.
Syed Saddiq yang hadir ke Balai Polis Sungai Way kira-kira pukul 2 petang dilihat meninggalkan perkarangan balai tersebut sekitar pukul 3.30 petang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din ketika dihubungi berkata pihaknya sudah menerima laporan berhubung kejadian itu sekitar pukul 2.30 petang dan kes kini dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang untuk tindakan selanjutnya. – K! ONLINE
View this post on InstagramA post shared by Kosmo! Online | Akaun Rasmi (@kosmo_online) on










