[VIDEO] Musang King vs J-Queen, siapa #1? - Utusan Malaysia

[VIDEO] Musang King vs J-Queen, siapa #1?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUSANG King masih lagi nombor satu ke?

Itu persoalannya berikutan kedudukan Musang King atau nama asalnya Raja Kunyit atau dalam bahasa Cina, Mao Shan Wang sebagai raja buah mungkin tergugat dengan J-Queen dari Indonesia. Isi keemasan J-Queen dengan rasa cukup manis dan berlemak seperti mentega kacang dikatakan berjaya mengalahkan rasa Musang King. Ia juga durian paling mahal selepas berjaya dijual pada harga AS$1,000 (RM4,100) di Tasikmalaya, Jawa Barat baru-baru ini.

Lebih mengejutkan, J-Queen dilaporkan pernah mengalahkan Musang King dalam satu pertandingan di Pulau Pinang pada tahun lalu. Selain itu, sebatang pokok J-Queen hanya berbuah maksimum 20 biji, tiga tahun sekali tanpa biji menjadikannya lebih ‘eksklusif’ berbanding Musang King yang boleh didapati setiap tahun.

Saya bertanyakan beberapa peniaga sama ada mereka ‘goyang’ dengan keadaan terbaru ini. Pelbagai reaksi diterima, ada yang teruja, ada yang tidak peduli dan ada juga yang tidak tahu langsung mengenai J-Queen.

Zainal Abidin, 63, ternyata terkejut apabila membaca keratan akhbar tentang J-Queen yang saya hulurkan kepadanya. Air mukanya yang pada mula ceria, bertukar sedikit masam. Risau barangkali, maklumlah sudah 35 tahun dia menyara keluarga daripada hasil jualan buah-buahan terutama Musang King.

“Kira berat saingan ini. Walaupun saya belum rasa, kalau macam ini punya cantik (isi), warnanya, memang kalah Musang King! Boleh tergugat durian kita,” katanya.

Manakan tidak, sedangkan Musang King yang pernah dijual di luar negara hingga harga RM800 sekilogram pun laris, tidak mustahil J-Queen yang dikatakan lebih enak boleh menjadi buruan ‘hantu durian’.

Walau bagaimanapun, Zainal Abidin tetap berpandangan positif. Katanya, biarlah ada persaingan sedemikian kerana ia boleh mencetuskan motivasi kepada pengusaha tanaman durian termasuk agensi-agensi kerajaan berkaitan untuk menghasilkan baka yang lebih berkualiti.

“Biarlah bertambah saingan Musang King supaya kita berusaha untuk mengalahkan J-Queen.

“Mungkin kita boleh cipta baja lebih bagus. Jabatan Pertanian mesti tahu benda-benda macam ni,” ujarnya.

Tidak kisah

Bagi Faizul, 27, yang mengusahakan perniagaan menjual durian milik keluarganya berusia 25 tahun ternyata tidak kisah dengan situasi terbaharu itu. Menurutnya, Musang King tetap nombor satu dari segi rasa iaitu manis berlemak. Bukan sahaja Musang King, varieti tempatan lain seperti IOI, XO, Udang Merah bahkan durian kampung sentiasa dicari-cari oleh pelanggannya termasuk pelancong asing. Apatah lagi harganya lebih murah.

“Musang King kita lagi murah. Satu kilogram baharu RM30 hingga RM35. Harga J-Queen sampai RM4,100 sebiji belum tentu sedap,” katanya yang menjual durian dari Raub, Pahang.

Dalam pada itu, Ujang, 36, ternyata sukar untuk menilai kehebatan J-Queen kerana belum merasainya. Lagipun itulah pertama kali dia tahu tentang baka durian dari Indonesia tersebut. Itu pun selepas saya menunjukkan keratan akhbar mengenai J-Queen.

“Dalam gambar kalau tengok isinya memang cantik. Kalau ikutkan harganya, gerenti sedap!” katanya yang menjual durian dari Jelebu, Negeri Sembilan.

Namun dia tetap yakin kehebatan Musang King tidak mampu digugat oleh J-Queen. Ini kerana bagi mereka yang biasa makan durian, kalau sudah merasai Musang King maka varieti lain sudah jadi tidak ‘kick’. Oleh sebab itu, dia sering menurunkan ‘petua’ kepada para pelanggannya iaitu kalau nak makan durian, makan varieti lain-lain dulu, kemudian baharulah dijamah Musang King.

Lagi satu keunikan Musang King adalah dari segi fizikalnya. Terdapat bentuk seakan-akan tapak sulaiman pada bahagian bawah buah itu.

Durian kampung

Sekarang inikan musim durian, kita boleh nampak banyak gerai menjualnya di tepi jalan. Namun bagi saya, lantaklah orang nak cakap Musang King ke, J-Queen ke paling sedap, saya tetap pilih durian kampung. Itu pun beli yang jual longgok. Bukan apa, nak beli Musang King, harganya mahal. Tunggu orang belanja sajalah…

Boleh juga tonton video yang saya sediakan di www.utusan.com.my.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN