[VIDEO] Kisah tiga beradik buta - Utusan Malaysia

[VIDEO] Kisah tiga beradik buta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU 6 Feb. – Sejak dilahirkan sehingga berumur belasan tahun, kehidupan tiga warga emas dari Kampung Titi Besi di sini adalah seperti mana remaja lain.

Namun semakin meningkat dewasa kehidupan mereka tiba-tiba berubah dan menjadi gelap.

Seorang demi seorang yang masing-masing kini sudah berumur 67, 73 dan 79 tahun itu, tidak lagi mampu melihat keindahan dunia selepas mengalami masalah ketumbuhan isi di urat mata sehingga menjadi buta.

Sebelum itu, tiga lagi kakak mereka yang sudah meninggal dunia sejak 12 tahun lalu juga mengalami masalah sama.

Apa yang istimewa, meskipun tidak dapat melihat namun Halijah Ibrahim, Manai dan Zainah yang tidak pernah berkahwin, menjalani kehidupan seperti orang biasa tanpa bergantung bantuan orang lain.

Mereka mampu memasak, mengemas, membuat barangan kraftangan, mengaji al-Quran dan pelbagai lagi aktiviti lain seolah-olah seperti tidak mempunyai masalah penglihatan.

Malah ketika masih kuat, mereka juga mengusahakan bendang sendiri selain aktiviti berkebun dan menimba ikan seperti kebanyakan penduduk lain di kawasan kampung berkenaan.

Halijah berkata, mereka sudah biasa melakukan kerja-kerja tersebut dan mengingati setiap ruang rumah dan kawasan berhampiran ketika masih boleh melihat semasa zaman kecil.

Katanya yang menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan, mereka adik beradik juga malah saling bantu membantu membuat kerja rumah sejak daripada dahulu lagi.

“Kalau saya memasak, adik-adik yang lain akan basuh pakaian dan mengemas. Pada waktu malam pula kami menghabiskan masa di masjid.

“Kami sudah biasa berdikari tanpa bantuan orang. Meskipun tidak dapat melihat, namun kami sentiasa positif menjalani kehidupan seperti orang biasa.

“Kami terima ujian Allah dengan hati terbuka selain terus berusaha menjalani kehidupan. Kami akan bersama sehinggalah ke akhir hayat di rumah ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, Manai pula berkata, sejak 2008 sehingga kini, mereka aktif membuat barangan kraftangan daripada rotan seperti bakul, tudung saji dan pelbagai lagi untuk dijual.

“Saya dan kakak akan buat barangan tersebut di rumah manakala adik akan membawanya ke beberapa kawasan seperti pasar tani di Kangar untuk dijual. Alhamdulilah, ia boleh membantu menambah pendapatan kami adik beradik,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN