KUALA LUMPUR 22 Feb. – Cadangan senarai nama bagi pemilihan Ketua Polis Negara dan timbalannya akan diserahkan secara rasmi kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam tempoh terdekat.
Video oleh NUR ANIS FARHANAH ABD. MALEK
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, senarai itu telah ditetapkan dan hanya difokuskan kepada beberapa nama sahaja.
“Saya akan kemukakan cadangan itu secara rasmi kepada Perdana Menteri ( Tun Dr. Mahathir Mohamad), mungkin kalau saya dapat tentukan masa dalam sehari dua ini.
“Tapi apa pun, ikut peraturan dan perlembagaan, perkara ini akan dibawa oleh Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong. Saya hanya mengemukakan cadangan sahaja. Jadi mungkin ada perubahan, ada pindaan itu terserah kepada Perdana Menteri dan akhirnya pada Yang di-Pertuan Agong,” katanya katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Kampung Batu Tiga, Jalan Bangi Lama, di sini hari ini.
Sebelum ini kontrak perkhidmatan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan timbalannya, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim akan tamat Mei ini. – UTUSAN ONLINE










