Usaha mencari keamanan berkecai - Utusan Malaysia

Usaha mencari keamanan berkecai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 4 Feb. Usaha untuk mencari keamanan di selatan Thailand berkecai berikutan keputusan panel dialog Majlis Syura Pattani (Mara Pattani) untuk menggantung semua dialog dengan kerajaan Thailand.

Ketua Panel Dialog, Shukri Hari berkata, keputusan untuk menggantung rundingan sehingga selepas selesai pilihan raya umum Thailand pada Mac ini adalah berikutan kekecewaan kumpulan itu terhadap sikap yang ditunjukkan oleh Ketua Panel Rundingan Damai Thailand, Jeneral Udomchai Thammasarorat.

“Mara Patani dan pasukan dialog Thailand tiba di sini pada 2 Februari lalu untuk mesyuarat pengenalan. Bagaimanapun, kami dimaklumkan bahawa Udomchai tidak akan mengha­diri mesyuarat itu. Beliau ha­nya akan menemui saya secara peribadi dan ber­asingan.

“Kami kecewa dengan sikap­nya yang bercanggah dengan kenyataan terdahulu bahawa beliau akan mengadakan dialog dan menghormati semua kumpulan dan pihak berkepenti­ngan,” katanya dalam satu ke­nyataan kepada Bernama hari ini.

Menurut Shukri, Mara Patani menyifatkan keengganan Udomchai untuk bertemu panel dialog kumpulan tersebut sebagai tidak dapat diterima dan disyaki mempunyai ‘agenda tersembunyi’.
Beliau berkata, kumpulan itu juga menggesa kerajaan Thailand untuk menggantikan Udomchai dengan seseorang yang ‘lebih berwibawa’ dalam usaha mencari penyelesaian terhadap konflik di Pattani yang telah berlarutan.

Udomchai baru-baru ini dilantik oleh Perdana Menteri Thailand, Jeneral Prayut Chan-o-cha untuk mengetuai run­dingan damai selatan Thailand, menggantikan Jeneral Aksara Kerdphol yang telah lama menjadi perunding.

Mesyuarat pengenalan yang sepatutnya berlangsung hari ini, diatur oleh fasilitator baharu Malaysia ke rundingan damai iaitu bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor yang dilantik oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Sejak meletus pada 2004, konflik itu yang mencengkam empat wilayah di selatan Thailand iaitu Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkhla telah meragut lebih 6,500 nyawa.

Dalam pada itu, Bangkok Post melaporkan, Udomchai me­negaskan tidak mempunyai temu janji dengan Mara Pattani bagi mengadakan perbincangan di sini.

Beliau yang berada di sini menjelaskan, kehadiran itu ha­nya untuk bertemu dengan Abdul Rahim dan telah menghantar Setiausaha Jawatankuasa, Mejar Jenaral Kriangkrai Srirak untuk menghadiri mesyuarat tidak rasmi dengan wakil Mara Pattani. – BERNAMA/ AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN