PONTIAN 26 Feb. – Bahang panas matahari tidak menghalang kira-kira 200 sukarelawan menjayakan program Jom Selamatkan Seaside 2019 di pesisiran pantai di sini baru-baru ini.
Mereka yang hadir bukan sahaja dalam kalangan golongan dewasa yang mewakili pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tetapi juga pelajar sekolah dari dalam dan luar daerah ini.
Ternyata apa yang ditunjukkan membuktikan minat dan kesungguhan untuk membantu

membersihkan kawasan pantai termasuk sampah-sarap yang dihanyutkan air pasang.
Menurut Pengerusi Skuad Amal Pantai Bestari, Mohd. Fairus Mohammad, 32, sambutan orang ramai cukup menggalakkan seperti program pembersihan pantai sebelum ini.
Katanya, program sama pernah diadakan di pantai Kota Tinggi dan Mersing yang popular sebagai kawasan pelancongan namun berdepan masalah kebersihan disebabkan sikap pengunjung dan fenomena alam.
“Pesisiran pantai merupakan kawasan orang ramai beriadah bersama-sama keluarga namun perlu dipelihara kebersihannya supaya mereka selesa melakukan aktiviti dan bebas pencemaran.
“Pembersihan yang dilakukan bukan sahaja di kawasan pantai tetapi di kawasan celah-celah batu kerana terdapat sampah-sarap yang tersangkut seperti kayu-kayu, tayar, perabot dan botol,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Mohd. Fairus berkata, program berkenaan telah dijalankan sejak 2017, bermula di Kota Tinggi sebelum diperluaskan ke daerah-daerah lain bagi menanam kesedaran orang ramai tentang kebersihan pantai.
“Selain fokus kepada golongan pelajar, kami juga menarik penyertaan sesiapa sahaja bagi sama-sama menjayakan kerja-kerja amal tanpa ada bayaran, upah dan sebagainya,” jelas beliau yang juga Pengerusi Komuniti Sahabat Darul Takzim.
Menyedari tanggungjawab dipikul kata Mohd. Fairus, mereka yang datang membawa bekalan minuman, makanan dan keperluan lain bagi keperluan masing-masing sekali gus membuktikan komitmen dan kesungguhan tinggi dalam menjayakan program dijalankan.
Kali ini, antara sekolah yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Medini, Johor Bahru; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Jaya, Kota Tinggi; Kolej Tingkatan Enam Pontian, SMK Dato Mohd. Yunos Sulaiman dan SMK Layang-Layang.
Turut mengambil bahagian adalah Sukarelawan Johor Darul Takzim@Joydec, Open Universiti Malaysia (OUM), Merlin Entertainment Grup, Pengangkap Kelana Diraja Pontian serta Sukarelawan Gugusan Lok Heng.
“Kami juga merakamkan terima kasih atas sokongan diberikan Majlis Daerah Pontian dan Southern Waste Management (SWM) yang turut menjayakan program ini,” katanya.











