Tiada siapa yang lebih menerima keuntungan dan manfaat sepanjang berlangsungnya Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, melainkan orang Semenyih itu sendiri.
Benarlah kata orang, masa pilihan raya ini, mintalah apa sahaja dari kerajaan, pasti dapat, kadang-kadang tak minta pun boleh dapat.
Sepanjang sudah seminggu perjalanan kempen PRK Semenyih, kebajikan penduduk Semenyih nampaknya diberi perhatian sungguh.
Dahan-dahan pokok reput dan lama yang dikhuatiri boleh membahayakan pengguna jalan raya dicantas dan dipotong.
Selain itu, paling jelas penduduk juga mendapat jalan yang baru diturap.Jalan yang berlubang ditampal, diturap malah yang tak berlubang juga tak ditinggalkan.
Tak percaya? Pergi lihat di pekan Semenyih dan kawasan sekitar Semenyih Sentral, jalan semua sudah cantik dan bersih. Untung betul.
Tak salah nak menurap jalan, cuma kenapa semua dilakukan ketika kempen PRK Semenyih sedang rancak menuju hari pengundian 2 Mac nanti.
Dalam semangat Malaysia baharu, ubahlah cara mahu menawan hati penduduk, jika kerajaan dahulu pun buat, kenapa kerajaan hari ini mahu ikut juga.
Calon Parti Sosialis Malaysia, Nik Aziz Afiq Abdul berkata, pihaknya sudah menjangkakan perkara-perkara tersebut akan berlaku sejak dari awal kempen.
“Tiada bezapun dengan kerajaan dahulu, percayalah nanti macam-macam lagi yang akan menyusul, masa ni mintalah apa sahaja,” katanya. – UTUSAN ONLINE.










