NEW YORK 21 Feb. – Amerika Syarikat (AS), Perancis, Britain dan enam negara lain dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) telah menyuarakan untuk mengadakan pertemuan mengenai konflik di Myanmar yang dijangka mendapat bantahan dari China, menurut diplomat.
Pertemuan yang dijangka minggu depan itu bakal mendengar laporan wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Christine Schraner Burgener yang mengadakan lawatan selama 12 hari ke Myanmar bagi membincangkan nasib pelarian Rohingya.
Belgium, Jerman, Poland, Kuwait, Peru dan Republic Dominica menyertai tiga kuasa veto dalam UNSC mendesak majlis memfokuskan isu di Myanmar.
Diplomat menjelaskan, China bakal menyuarakan bantahan namun masih belum jelas sama ada negara itu akan menghalang pertemuan berkenaan melalui prosedur undian.
Pada Oktober lalu, China gagal mendapatkan sokongan di UNSC bagi menghalang laporan daripada ketua misi pencarian fakta di Myanmar.
China, yang mempunyai hubungan ketenteraan yang rapat dengan Myanmar, bertindak mempertikaikan krisis di Rakhine yang didakwanya berkaitan dengan kemiskinan dan membantah sebarang langkah untuk menekan pihak berkuasa di Myanmar. – AFP










