UNHRC tumpu ‘jenayah kemanusiaan’ - Utusan Malaysia

UNHRC tumpu ‘jenayah kemanusiaan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA 23 Feb. – p enafian mengenai kem tahanan untuk menindas etnik Uighur beragama Islam di Xinjiang bakal menjadi ‘topik melobi utama’ China dalam forum tahunan Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) yang bakal berlangsung Isnin depan di sini.

Al-Jazeera melaporkan, negara-negara Barat terma­suk Turki dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dijangka menjadikan isu berkenaan sebagai ‘alat’ mendesak China supaya mengaku perbuatan mereka menidakkan hak etnik Uighur.

Bagaimanapun, kesemua 47 negara anggota UNHRC akan cuba mengelak daripada ‘menyebut nama atau memalukan’ mana-mana pihak.

Pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerusi beberapa laporan sebelum ini menyatakan lebih sejuta etnik Uighur ditahan dalam beberapa kem tahanan yang didakwa China sebagai pusat pendidikan vokasional di Xinjiang.

Sehingga kini, Beijing ber­keras menafikan dakwaan itu.

PENGHINAAN HAK KEMANUSIAAN

Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu yang dijangka berucap dalam forum berkenaan sebelum ini menggesa supaya China menutup kesemua kem tahanan terbabit dan menyifatkannya sebagai ‘penghinaan kepada hak kemanusiaan’.

Selain itu, OIC juga diharap dapat menyuarakan panda­ngan mereka mengenai tindakan China itu sebagai dorongan kepada negara lain untuk melahirkan pandangan serupa.

Para aktivis turut menggesa negara-negara Islam dan Eropah supaya mengetuai siasatan PBB mengenai kem tahanan di Xinjiang itu.

John Fisher dari Human Rights Watch berkata, semua pihak digalakkan bersuara me­ngenai kebimbangan tindakan China terhadap etnik Uighur dan bersetuju negara itu perlu bertanggungjawab mengikut piawaian yang ditetapkan.

Katanya, forum tersebut perlu dilihat sebagai peluang dan negara-negara anggota hanya perlu berani bertindak.

CHINA ‘PERGUNA’ PBB

Namun, sejumlah diplomat memaklumkan tiada sebarang tanda ada negara akan mengusulkan resolusi terhadap China biarpun delegasi membuat persediaan untuk mendesak Beijing berhubung isu menindas.

Selain itu, usaha China menghalang kumpulan aktivis dari Tibet dan etnik Uighur menyertai forum selama empat minggu itu gagal.

China menerusi satu surat menggesa PBB tidak membenarkan seramai 15 aktivis termasuk Dalai Lama dan Dolkun Isa iaitu Presiden Kong­res Ui­ghur Sedunia menyertai forum berkenaan.

Surat itu memaklumkan China bakal mengadakan pameran gambar di forum ber­kenaan yang memaparkan 90 gambar etnik Uighur hidup dalam kea­daan gembira dan selesa.

ARAB SAUDI, VENEZUELA, ISRAEL JUGA DISEBUT

Dalam pada itu, Arab Saudi juga bakal menerima tempias terutama berkaitan isu pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi yang dikaitkan de­ngan Putera Mahkota, Putera Mohammed bin Salman serta kegagalan negara itu bekerjasama dengan siasatan PBB.

Negara-negara Eropah turut bercadang memboikot ucapan yang disampaikan oleh Menteri Luar Venezuela, Jorge Areeaza berikutan sokongan terhadap pe­mimpin pembangkang, Juan Guaido dan menolak Presiden Nicolas Maduro.

Sementara itu, pasukan penyiasat UNHRC berhubung isu di Myanmar, Korea Utara dan Iran bakal menyampaikan laporan tahunan, selain mandat mereka berkemungkinan diperbaharui biarpun Amerika Syarikat meninggalkan forum pada tahun lalu susulan beranggapan negara-negara anggota bersikap berat sebelah terhadap Israel.

Satu laporan PBB mengenai Israel menggunakan kekerasan terhadap penunjuk perasaan Palestin di Gaza pada tahun lalu juga dibentangkan manakala laporan tentang pangkalan data beberapa syarikat di Semenanjung Gaza mungkin ditangguh lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN