KUALA LUMPUR 23 Feb. – UMNO menafikan berita yang kononnya disiarkan portal UMNO Online menyatakan kepemimpinan tertinggi parti mahu menilai semula kerjasama dengan Pas.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah menegaskan, kenyataan yang kononnya diputuskan dalam mesyuarat Biro Politik UMNO dan turut tular dalam media sosial itu palsu serta tidak benar sama sekali.

Sebaliknya, kata beliau, kerjasama kedua-dua parti disifatkan sebagai sangat baik dan sangat mantap terutama dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.
“Berita itu dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang pastinya bimbang dengan kerjasama UMNO dan Pas yang sedang berjalan begitu baik. Malah, kenyataan berkenaan tidak pernah dikeluarkan oleh portal UMNO Online.
‘‘Oleh itu, saya harap semua pihak terutamanya pengundi di Semenyih supaya tidak terpengaruh dengan berita palsu berkenaan,’’ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Satu berita palsu yang kononnya disiarkan di portal UMNO Online mengatakan kepemimpinan tertinggi UMNO mahu menilai semula kerjasama dengan Pas tular dalam media sosial terutamanya aplikasi WhatsApp.
Berita berkenaan yang kononnya diputuskan dalam mesyuarat Biro Politik UMNO menyatakan tindakan itu diambil ekoran daripada pendedahan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa Pas tidak akan menyokong UMNO.
Keputusan untuk menilai semula kerjasama itu juga dikatakan diambil selepas Pas menyatakan akan memberi sokongan kepada Dr. Mahathir jika ada undi tidak percaya dilakukan terhadap Perdana Menteri.










