KAJIAN sikap terkini Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih menunjukkan antara ciri calon yang disukai pengundi di situ adalah anak tempatan, berpengalaman, dikenali dan mempunyai pendidikan tinggi. Berdasarkan ini, ternyata semua calon bertanding berpeluang mendapat tempat di hati pengundi.
Calon yang akan terus memberi saingan empat penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Aiman Zainali; calon Barisan Nasional (BN), Zakaria Hanafi; calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul serta calon Bebas, Kuan Chee Heng.
Senario PRK berbeza dengan Pilihan Raya Umum Ke- 14 (PRU-14). Darjah sokongan banyak dipengaruhi oleh isu dan sentimen. Bukan semata atas faktor calon atau parti bertanding. Malahan dianggarkan data-data sokongan sebelumnya oleh mana-mana pengkaji semasa PRU-14 dianggap tidak boleh digunakan lagi.
Semasa PRU isunya berlainan dengan sekarang. Di Semenyih kebanyakan ceramah dan kempen khususnya daripada BN dan PH lebih berkisar kepada manifesto yang tidak dapat ditunaikan sepenuhnya, isu pemimpin politik terpalit dengan tuduhan di mahkamah, isu lompat parti, pemalsuan sijil, kelayakan akademik dan isu dalaman parti, selain isu lokaliti.
Namun jika dianalisis, kesemua calon ialah anak tempatan yang memberi kelebihan masing-masing. Jika ditinjau dari segi berpengalaman dan dikenali pula kelebihan mungkin kepada calon BN dan Kuan Chee Heng atau dikenali sebagai `Uncle Kentang.’ Calon BN, Zakaria sudah lama berkecimpung dalam parti UMNO di situ.
Sementara, Uncle Kentang dikenali kerana kerja sosialnya. Malahan beliau memberi amaran kepada calon lain agar tidak menghilangkan diri bila berjaya menjadi wakil rakyat di situ. Katanya, kerap wakil rakyat hanya tahu membuat janji tetapi tidak menunaikannya. Semasa penulis berjumpa, beliau menyatakan dia lebih awal `berkhidmat’ berbanding calon lain terutama di waktu kecemasan, dan urusan jenazah.
Kelebihan juga jatuh kepada Zakaria (BN) dan Uncle Kentang kerana lebih berusia berbanding Muhammad Aiman dan Nik Aziz. Sesetengah pengundi di sini mengatakan pengalaman selalunya dikaitkan dengan usia. Ibarat kelapa tua yang lebih banyak santan, lihat Tun Dr. Mahathir Mohamad, kata beberapa pengundi yang ditemui.
Namun Aiman (PH) dan Nik Aziz (PSM) juga dikenali dan terus diperkenalkan oleh pekerja parti dan penyokong yang ke hulu ke hilir dalam sesi memperkenalkan calon. Bagi pengundi muda dan pentengahan pula, mereka lebih suka kepada calon muda dan bertenaga dalam membawa perubahan mengikut cita rasa terkini. Maka peluang terbuka buat dua anak muda ini.
Namun kelebihan menyebelahi calon BN, PH dan PSM kerana mereka mempunyai kelulusan tinggi yang dirasakan oleh pengundi boleh membawa perubahan di Semenyih. Bagi setengah pengundi pula berpendapat sekeping ijazah tidak menjanjikan kecemerlangan dalam pentadbiran terutamanya politik.
Ramai tokoh dahulu tidak mempunyai kelulusan tetapi mampu memimpin, berbanding ada ijazah tetapi terpalit dengan kes pecah amanah, rasuah dan sebagainya. Apa pun kita tidak memandang rendah dengan kemampuan Uncle Kentang yang kaya dengan pengalaman dan kerja kebajikan kepada semua kaum. Ramai rakan penganalisis menjangkakan beliau mungkin mampu mendapat 8 hingga 10 peratus undi terutamanya daripada pengundi Cina.
Bagaimana pula dengan sokongan pengundi India? Ramai menganggap pengundi India menjadi `rebutan’ calon bertanding. Berapa pengundi India yang ditemui mengakui telah membuat pilihan. Namun jangan terkejut jika ada yang tidak keluar mengundi atau merosakkan kertas undi! Semuanya bergantung kepada sejauh mana ‘tawar-menawar’ dapat dilakukan kepada pengundi ini dengan parti bertanding.
Tinjauan penulis mendapati strategi di minggu pertama berkempen lebih menumpukan kaedah kunjungan pengundi mengikut pusat daerah mengundi oleh pekerja semua parti yang bertanding kecuali calon Bebas. Ceramah kecil-kecilan dibuat di pondok atau markas parti kecuali beberapa tokoh yang diimport khas. Berkempen di kawasan terbuka seperti di pasar malam, Dataran Md. Said dan sebagainya dibuat bagi memudahkan pengundi datang.
Pendekatan media sosial dilihat menjadi battle of Malays voters apabila BN dan PH masing-masing lebih aktif mengerakkan askar maya mereka. Dilihat berkesan, namun perlu disulami dengan pendekatan interpersonal dan media tradisional.
Barang diingat pengundi yang lebih berusia lebih gemar mendengar ceramah atau kunjungan. Maka kebanyakan calon berkunjung dan berjemaah di masjid dan surau selain ‘mengeteh dan mengopi’ di warung dan restoran. Ceramah bermula selepas solat isyak.
Walaupun pendekatan “Bossku” BN mendapat sambutan hangat namun ramai mempersoalkan sejauh mana ia mampu diterjemahkan di atas kertas undi? Ini kerana ramai yang menyambut “Bossku” bukanlah pengundi Semenyih sebenar. Apa pun bagi sesetengah pengundi di sini yakin pendekatan ini berjaya meningkatkan moral dan keyakinan pengundi di sini.
PRK Semenyih tampak lebih kepada mengukur sejauh mana parti-parti berasaskan etnik khususnya UMNO dan Bersatu mendapat tempat dalam kalangan pengundi Melayu. Ia tidak sama dengan Cameron Highland. Baik dari segi calon yang bertanding dan isu yang melingkari kempen oleh mana-mana parti. Ia juga tidak sama dengan tiga PRK lain di Selangor sebelum ini.
Di Semenyih, Bersatu ingin mempertahankan kemenangan pada PRU-14 lalu manakala BN berusaha untuk merampas kembali kerusi ini yang dimenangi pada PRU-13.
Tinggal beberapa hari berbaki, sudah tentu semua calon yang bertanding akan mengubah strategi yang lebih ampuh bagi memenangi hati pengundi. Mungkin ada sesuatu kenyataan dan strategi yang akan `diletupkan’ bagi memberi impak kepada parti yang bertanding. Kita tunggu dan lihat.
– PENULIS ialah Pengarah Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara.










