SAUDARA PENGARANG,
MEMANG tidak dapat dinafikan bahawa sistem tol memberi kesan kepada aliran trafik di dalam bandar. Namun hakikatnya keadaan menjadi lebih buruk apabila waktu puncak.
Semua sistem tol di ibu kota mengguna pakai sistem palang yang mana semua kenderaan terpaksa memperlahankan kenderaan sebelum membayar tol. Sistem Smart Tag yang sepatutnya mempercepatkan perjalanan akan mengundang bahaya jika pemandu terperangkap kerana kegagalan sistem membaca kad pintar. Pemandu yang terjerat akan cuba mengundurkan kenderaan dan ada pula yang akan menukar lorong pembayaran tanpa mempedulikan keadaan kereta yang laju di lorong bersebelahan.
Jadi wajarkah sistem tol di bandar diteruskan? Kebanyakan negara maju telah lama menggantikan penggunaan sistem tol yang lebih efektif. Memang tidak dinafikan terdapat banyak faktor lain perlu dipertimbangkan sebelum sistem tol digantikan dengan sistem yang lebih berkesan. Namun sebagai permulaan, ia harus dimulakan dengan skala kecil bagi meneliti keberkesanannya.
Para pengguna jalan raya juga merungut bahawa sistem tol di dalam bandar wajar dihapuskan kerana rata-rata yang bekerja di bandar terpaksa membayar kadar purata tol sekitar RM10-RM15 sehari. Ada juga mengatakan jumlah tersebut jauh lebih murah berbanding menggunakan pengangkutan awam dengan mengambil kira kos letak kenderaan untuk menaiki kenderaan awam. Bukankah kawasan parkir ini perlu disediakan percuma bagi menggalakkan lebih ramai menggunakan pengangkutan awam?
Akibat daripada terlalu banyak kos tersembunyi yang terpaksa ditanggung pengguna pengangkutan awam, maka kebanyakannya sanggup meredah kesesakan jalan raya setiap hari. Jika keadaan ini tidak diteliti, keadaan kesesakan jalan akan menjadi bertambah buruk. Pihak berkuasa perlulah mencari penyelesaiannya untuk kepentingan semua pihak.
DR. ROHANA SHAM
Jabatan Logistik UCSI










