Tumpahan merkuri di Klinik Pakar HTJ - Utusan Malaysia

Tumpahan merkuri di Klinik Pakar HTJ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 23 Feb. – Lima pekerja am Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini berdepan detik cemas apabila satu unit alat pemantau tekanan darah di hospital itu pecah dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Mohamad Idris berkata, insiden itu menyebabkan pekerja terbabit terdedah pada merkuri daripada alat tersebut yang tumpah di lantai Klinik Pakar HTJ.

“Pihak hospital memaklumkan bomba mengenai kejadian itu dan seramai dua pegawai serta lima anggota Balai Bomba dan Penyelamat Seremban dikerahkan memberi bantuan.

“Tujuh pegawai dan anggota Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 turut bergegas ke hospital itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohamad berkata, pegawai dan anggota bomba terlibat mengambil masa kira-kira satu jam untuk menstabil dan membersihkan tumpahan merkuri tersebut.

Katanya, kelima-lima pekerja am terbabit bagaimanapun didapati tidak mengalami sindrom berbahaya, namun telah diminta menjalani pemeriksaan kesihatan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, keracunan merkuri boleh mengundang masalah kesihatan yang serius termasuk kanser. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN