KUALA LUMPUR 23 Feb. – Cabaran membesarkan anak autisme bukanlah mudah, apatah lagi akibat kekangan kewangan dan kekurangan kesedaran, banyak ibu bapa tidak tahu cara yang betul untuk mengesan dan mengurus anak istimewa itu.
Berbekalkan niat murni membantu anak autisme, Gimnasium Kanak-Kanak We Rock The Spectrum (WRTS) Ara Damansara melancarkan program terapi autisme terbaharu, Terapi Sambil Bermain (TTP) yang bertujuan membantu ibu bapa menjalankan terapi bersama anak mereka dalam situasi yang paling menyeronokkan.
Pemilik bersama WRTS Malaysia, Nori Abdullah berkata, pihaknya berharap dengan program itu, lebih ramai anak autisme dapat menjalani terapi sepatutnya untuk membantu proses perkembangan dan pembelajaran mereka.
“Dengan program TTP ini, WRTS berharap agar mana-mana rakyat Malaysia yang memerlukan terapi akhirnya akan berupaya mendapatkannya.
“Dengan kerjasama pusat kanak-kanak pelbagai disiplin, The Energy Source, program TTP ini akan melibatkan pemeriksaan, program khusus buat setiap individu serta pendidikan bagi ibu bapa untuk menjalankan terapi sendiri,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Pelancaran TTP di WRTS Ara Damansara, Evolve Concept Mall dekat sini hari ini.
Sementara itu, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang melancarkan program berkenaan turut menyentuh tentang inisiatif WRTS mengumpulkan dana bagi membantu keluarga kurang bermampuan memasukkan anak-anak mereka dalam program ini.
Menurut beliau, WRTS setakat ini telah berjaya mengumpulkan penajaan untuk 50 kanak-kanak melalui terapi selama kira-kira 15 jam dalam satu kitaran yang memakan masa selama tiga hingga empat bulan. – UTUSAN ONLINE










