Sekumpulan lapan pendaki dari Semenanjung mencatatkan rekod apabila berjaya menawan puncak tertinggi di Banjaran Tama Abu di Sarawak baru-baru ini. Mereka dipercayai menjadi kumpulan pendaki pertama berjaya menawan puncak Gunung Tama Abu berketinggian 2,113 meter (6,930 kaki) dari paras laut (dpl) pada 5 Februari 2019.
Ketua ekspedisi, Zainudin Lot, 43, dari Kelab Jelajah Alpine dan Kelab Orang Gunung Kuala Lumpur (OGKL) berkata, Tama Abu merupakan puncak ke-14 tertinggi di Malaysia dan masih belum pernah direkodkan pendakian sebelum ini termasuk oleh penduduk tempatan.
Menurutnya, pendakian sebelum ini hanya menempuh laluan dari Long Lellang menuju ke Bario menerusi Tama Abu Pass yang mempunyai beberapa puncak berketinggian 1,800 meter hingga 1,900 meter dan mengambil masa sekitar empat hingga enam hari perjalanan.
“Ekspedisi ini sangat mencabar dari segi logistik dan maklumat, memandangkan kemudahan di sana sangat minimum selain orang tempatan sendiri tidak mengetahui lokasi serta laluan ke puncak Gunung Tama Abu.
“Kemahiran menggunakan peta topo serta alat Pengesan Kedudukan Global (GPS) amat membantu sepanjang ekspedisi ini berlangsung. Hanya pada hari kelima pendakian barulah kumpulan ini berjaya sampai ke puncak paling tinggi di Banjaran Tama Abu ini,” katanya kepada S2.
Ekspedisi itu turut disertai Muhamad Yasir Ishak, 43; Amir Abidin Md. Bashah, 46; Nor Thahar Wan Mohd Nawi, 46; Khairuddin Muhamed Yusof, 42; Noorhaffiz Ismail, 42; Muhamad Fuad Muhamad, 38; dan Mohamad Syahidan Jamaludin, 36.
Kejayaan ekspedisi itu turut dibantu oleh dua sahabat etnik Penan dari Long Sabai yang hanya mahu dikenali sebagai Irwan dan Sami.
Mengulas lanjut Zainudin berkata, sepanjang pendakian tersebut, semua anggota ekspedisi serta juru pandu bergilir-gilir menebas laluan termasuk memanjat tebing-tebing batu dengan kecuraman 90 darjah dan tinggi antara 40 hingga 70 meter.
Katanya, pada hari keempat pendakian kumpulan pendaki terpaksa bermalam dalam keadaan ikhtiar hidup (survival) di permatang tanpa khemah dan kelengkapan yang sepatutnya.
Ini kerana katanya, mereka hanya bercadang naik dan turun pada hari yang sama (daypack), namun disebabkan bentuk muka bumi yang amat mencabar dan tidak pernah dimasuki manusia, keadaan itu membuatkan pendakian menjadi amat sukar.
“Kami terkandas di permatang gunung setelah 10 jam mendaki. Kami mengambil keputusan untuk bermalam apabila hari mulai gelap bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini di samping bagi memendekkan tempoh masa ke puncak sekiranya terpaksa berpatah semula ke tapak khemah,” katanya. Jelasnya, pengalaman setiap anggota pendaki serta juru pandu arah memainkan peranan penting dalam survival kumpulan menuju ke puncak.
Menurutnya, dengan kejayaan ekspedisi itu membuka lembaran baharu dunia pendakian di Bumi Kenyalang yang mana sebelum ini rata-rata pendaki bertumpu ke Gunung Mulu, Gunung Murud, Gunung Batu Lawi serta Gunung Apad Runan.
Ekspedisi selama 10 hari ini bermula di Miri dan menuju ke Long Lellang menerusi jalan udara dengan menaiki pesawat Maswings dan pulang menerusi jalan darat menggunakan kenderaan pacuan empat roda (4WD) selain menaiki perahu panjang suku Kelabit dan Penan meredah hulu Sungai Tutoh.
“Kami menaiki perahu panjang menuju ke penempatan orang Penan yang terletak di Long Sabai untuk mengakhiri ekspedisi,” katanya.
Ekspedisi ini menerima tajaan daripada Kelab Jelajah Alpine Malaysia dan kerjasama Puncak Ventures serta Kelab OGKL.










