KUALA TERENGGANU 22 Feb. – Pertubuhan Kebajikan Amal Makruf Pribumi (KAMP) hari ini menegaskan bahawa sudah sampai masa pihak berkuasa mengenakan tindakan paling tegas terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang melakukan penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW.
Presidennya, Ahmad Sukri Abdullah berkata, tindakan tegas perlu dilakukan bagi mencegah perbuatan biadap seumpama itu memandangkan ia semakin menjadi-jadi kebelakangan ini.
BagI tujuan itu katanya, kira-kira 300 ahli KAMP sekitar Kuala Terengganu berhimpun dan hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu di sini petang ini untuk membuat laporan polis mengenai perkara itu.
Laporan polis itu dibuat oleh Ahmad Sukri kira-kira pukul 3.30 petang.
Bercakap kepada pemberita selepas itu beliau berkata, KAMP kesal serta memandang serius perbuatan menghina Nabi Muhammad sekali gus telah mengguris hati umat Islam di negara ini.
“Justeru itu kita harap pihak berkuasa ambil tindakan tegas ke atas mereka terbabit kerana makin banyak berlaku kes sebegini kebelakangan ini,” katanya.
Baru-baru ini, seorang pemilik Facebook, Foo Sing Wai telah mencetuskan kemarahan umat Islam apabila melakukan penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW.
Dalam pada itu, Ahmad Sukri berkata, laporan polis itu juga dibuat berkaitan isu patung berhala yang diletakkan berhampiran pintu Surau Sabilul Huda di Pandamaran, Klang, Selangor tempoh hari.
“Kita serahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan kita harap kali ini pihak berkuasa ambil tindakan tegas supaya ia tidak lagi berulang pada masa akan datang,” ujarnya.
Tambah Ahmad Sukri, pada masa ini KAMP mempunyai keahlian melebihi 9,000 orang di seluruh negeri ini termasuk lebih 2,000 ahli di sekitar Kuala Terengganu. – UTUSAN ONLINE










