KUALA LUMPUR 20 Feb. – Di sebalik penyingkiran Perlis daripada Liga Malaysia (Liga M) oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), timbul rasa kurang ‘berpuas hati’ pengendali UKM FC, Sulaiman Hussin yang mempersoalkan tiga mata yang bakal hilang akibat keputusan tersebut.
Dalam aksi pembuka tirai Liga Perdana pada 3 Februari lalu, UKM FC berjaya meraih tiga mata berharga selepas menewaskan Perlis 2-1.
Bagaimanapun, penyingkiran Perlis yang diumumkan MFL hari ini sudah tentu memberi kesan kepada kedudukan UKM FC dalam liga.
“Siapa yang patut dipersalahkan isu Perlis FA… Daripada awal aku cakap pelan-pelan…, Hampa (anda) kalut nak pergi Piala Dunia.
“Tiga mata UKM FC hampa tanggungjawab… Kesian kepada pemain yang tungkus lumus main… Bayar ganti rugi siapa saja yang bertanggungjawab,” katanya dalam laman Facebook peribadinya bernama Sulaiman Hussin.
UKM FC kini menduduki tangga ke-10 liga dengan mengumpul tiga mata hasil satu menang dan dua tewas. – UTUSAN ONLINE










