KOTA BHARU 18 Feb. – Tiga mata sulung dalam aksi Liga Perdana yang dirakam Kelantan ketika menumpaskan UKM FC 1-0 di Stadium Bola Sepak Cheras, Kuala Lumpur malam tadi cukup melegakan The Red Warriors (TRW) biarpun gol itu dihasilkan menerusi sepakan penalti.
Penolong jurulatih TRW, Kamarudin Mohammad berkata, kemenangan itu menjadi azimat yang cukup berharga buat pasukannya untuk mengharungi saingan selepas ini.
Menurutnya, dia yakin Kelantan akan terus mempamerkan kebangkitan pada perlawanan selepas ini.
Ujarnya, bagaimanapun dia mengakui jentera serangan TRW masih lagi tumpul dan perlu diperbaiki selepas hanya berjaya melakar kemenangan sulung itu menerusi sepakan penalti.
“Saya setuju jika ada yang mengatakan kita menang dengan penalti. Tetapi apa yang penting pemain-pemain saya telah berusaha sebaik mungkin.
“Mereka patut diberikan pujian atas usaha keras yang telah dilakukan dan harus diingat kami beraksi tanpa lima tonggak (Bawah-23 kebangsaan),” katanya di sini hari ini.
Pada perlawanan itu, Flavio Beck Junior menjadi wira TRW apabila tenang menyempurnakan sepakan penalti di minit ke-88 untuk menghadiahkan tiga sulung buat pasukannya.-UTUSAN ONLINE








