SAUDARA PENGARANG,
SAYA pernah berkunjung ke beberapa negara ASEAN termasuk Indonesia. Diperhatikan bandar-bandar besar seperti Pontianak, Medan, Bandung, Jogjakarta dan sudah tentu ibu kotanya sendiri, Jakarta nampaknya jauh lebih maju daripada yang kita sangkakan.
Bangunan pencakar langit dan hotel-hotel bertaraf lima bintang yang wujud dengan banyak menjadi petanda bahawa Indonesia semakin makmur dan pesat pembangunannya. Kemudahan pengangkutan awam mereka juga sudah jauh lebih baik.
Oleh itu jangan terkejut jika suatu hari nanti, Indonesia yang kita anggap lebih mundur daripada Malaysia akan bertambah maju.
Perkara itu tidak mustahil berlaku jika dilihat rekod China yang mempunyai penduduk berjumlah lebih satu bilion pada asalnya adalah sebuah negara besar yang mundur tetapi dalam tempoh singkat sahaja menjadi maju apabila mengamalkan dasar ekonomi terbuka. Kini China mampu bersaing dengan negara-negara maju lain seperti Amerika Syarikat dan Jepun.
Apakah rahsianya? Sudah tentu tidak lain dan tidak bukan adalah kegigihan kerajaan China untuk memberikan latihan kemahiran mengikut peredaran zaman dalam bidang sains dan teknologi kepada rakyatnya.
Faktor lain adalah kerana kerajaan negara itu telah berusaha membanteras rasuah secara habis-habisan dalam kalangan penjawat awam, tidak kira penyelewengan besar atau kecil. Hukuman paling berat adalah ditembak sehingga mati.
Kini Indonesia turut mengikut jejak China apabila bertindak menghapuskan rasuah secara bersungguh-sungguh.
Oleh itu, saya berharap Malaysia tidak ketinggalan berbanding Indonesia. Cukup-cukuplah kesilapan kepemimpinan terdahulu. Kerajaan sekarang janganlah asyik berpolitik sahaja.
Tetapkan matlamat untuk memajukan Malaysia agar boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju lain.
SYED ABDULLAH SYED OSMAN
Negeri Sembilan











