HULU LANGAT 22 Feb- Calon Barisan Nasional (BN), bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Zakaria Hanafi berharap agar kes kereta disimbah cat tidak berulang lagi kepada dirinya atau mana-mana ahli parti BN dan Pas sebelum berakhirnya tujuh hari berkempen.
Menurut beliau, arena politik di negara ini mengamalkan sikap Malaysia Baharu justeru perkara itu tidak seharusnya terjadi namun berlaku sebaliknya.
“Kita zaman sudah maju dan perkara-perkara ini sudah kebelakangan, tidak perlu rasanya terjadi hal-hal seperti ini
“Laporan polis sudah dibuat dan kita tunggu sahajalah siasatan daripada pihak polis,” katanya kepada Utusan Online selepas mengadakan sesi walkabout bersama pengundi Semenyih sekitar Bandar Bukit Mahkota di sini hari ini.
Semalam, sebuah kereta milik pembantu calon BN disimbah cat dalam kejadian di Kampung Rinching Hulu, Semenyih malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, kereta jenis Mercedes Benz milik Rahmad Musa, 55, yang juga merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih itu disimbah cat minyak berwarna biru semasa diletakkan di bahu jalan.
Ekoran kejadian tersebut, satu laporan polis dibuat oleh Rahmad di Balai Polis Semenyih, tengah malam tadi. – UTUSAN ONLINE










