JAKARTA 19 Feb.– Pesuruhjaya Suruhanjaya Pilihanraya (KPU), Wahyu Setiawan menafikan dakwaan Timbalan Ketua Setiausaha (Wasekjen), Andi Arief yang mengaitkan badan itu dengan penipuan semasa penganjuran debat kedua Pilihan Raya Presiden (Pilpres), baru-baru ini.
Wahyu sebagaimana lapor Kompas.com menegaskan, tidak ada penipuan dilakukan pihaknya semasa debat itu berlangsung seperti yang didakwa Andi menerusi laman Twitter beliau.
“Saya tidak faham, pembohongan apa yang dimaksudkan. Kalau dari sudut pelaksanaan debat, kami telah pastikan tidak ada penipuan berlaku,” katanya.
Menurut Wahyu, proses penganjuran debat dibuat secara terbuka.
Justeru katanya, orang awam dan pihak yang berkempen berpeluang untuk memantau seluruh penganjuran acara tersebut.
“Dari proses pemilihan lokasi, tempat duduk, isu berbangkit, pilihan soalan, semuanya diputuskan menerusi undian dan persetujuan calon presiden atau pihak yang berkempen. Itu jelas,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa Pasukan Kempen Prabowo Subianto dan Sandiaga Uno, Fadli Zon mencadangkan agar debat ketiga dianjurkan tanpa kehadiran ahli panel.
“Dari segi sistem penganjuran, ada peningkatan namun masih ada kelemahan.Nanti kita usulkan agar tidak lagi melibatkan ahli panel,” jelasnya.
Sementara itu, Pesuruhjaya KPU, Viryan Aziz memberitahu, beliau akan berbincang dengan kedua-dua calon Pilpres tentang cadangan berkenaan. – AGENSI











