Tiada masalah semak pendidikan Rina Harun - Utusan Malaysia

Tiada masalah semak pendidikan Rina Harun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 9 Feb. – Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd. Harun tiada masalah untuk mana-mana pihak memeriksa latar belakang pendidikannya.

Jelasnya, beliau tidak bimbang sekiranya mereka berbuat demikian kerana mempunyai bukti yang jelas dirinya belajar di institusi pengajian tersebut.

“Kalau cari saya punya latar belakang pendidikan, saya tiada masalah sebab gambar saya sendiri keluar di majalah universiti saya,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Sukan Ansara Malaysia Ke-19, di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, dekat sini hari ini.

Rina merupakan pemegang Diploma Pengajian Perniagaan dari Universiti Teknologi Mara dan Ijazah Sarjana Muda Perbankan dan Pengurusan Kewangan dari Northwood University, Michigan, Amerika Syarikat (AS).

Walau bagaimanapun, Rina yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, selain pendidikan, nilai integriti setiap menteri atau timbalan menteri juga harus dilihat berdasarkan hasil kerja dilakukan dalam memacu hala tuju kementerian.

Jelas beliau, lebih-lebih lagi kerajaan hari ini terpaksa bekerja secara kreatif dengan idea-idea yang inovatif kerana mengambil alih hutang serta liabiliti tinggi daripada pentadbiran kerajaan lalu.

“Sebenarnya bagi saya dalam keadaan teknologi dan media sosial tanpa sempadan jadi dunia lebih terbuka untuk semua pihak menyuarakan pendapat serta harapan masing-masing, saya pun pernah juga lihat ada yang cakap negatif pasal saya tapi ada juga positif.

“Saya harap dapat dilihat juga bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang kini berusia sembilan bulan telah melakukan pelbagai usaha termasuk berbincang mengenai isu-isu berkaitan rakyat,” katanya.

Isu berkenaan sijil akademik Datuk Marzuki Yahya timbul selepas Timbalan Menteri Luar itu pada awalnya dikatakan memiliki Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Cambridge, England.

Bagaimanapun selepas laporan polis dibuat terhadapnya oleh aktivis politik di negeri inu yang mempertikai kesahihan sijik akademik itu, Marzuki kemudiannya menjelaskan ijazah beliau adalah dari Universiti Antarabangsa Cambridge yang berpusat di AS.

Bagaimanapun, kredibiliti Universiti Antarabangsa Cambridge, AS itu dipertikai kerana didakwa merupakan ‘kilang’ mengeluarkan sijil pendidikan yang tidak sah termasuk boleh dibeli. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN