ISLAMABAD 22 Feb. – Pakistan memberi kebenaran kepada tenteranya untuk ‘bertindak dengan tegas dan menyeluruh terhadap sebarang pencerobohan atau konflik bersenjata yang dicetuskan oleh India’.
Lapor agensi berita al-Jazeera, Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan mengumumkan perintah terbabit dalam satu kenyataan dikeluarkan selepas mengadakan mesyuarat bersama Suruhanjaya Keselamatan Nasional semalam.
Menurut kenyataan itu, Pakistan ‘tidak terlibat dalam apa cara, niat atau bentuk’ mengenai serangan pengeboman di wilayah Kashmir yang mengorbankan 42 tentera India pada minggu lalu.
Tambah kenyataan tersebut, Pakistan mengulangi tawarannya bagi membantu menyiasat insiden terbabit dan mengambil tindakan terhadap sesiapa yang menggunakan ‘tanah Pakistan’ untuk menyerang India.
Pakistan juga menawarkan diri mengadakan dialog dengan India berkaitan semua isu, termasuk membabitkan aktiviti keganasan.
DUA BADAN KEBAJIKAN DISEKAT
Susulan insiden keganasan di Kashmir itu, Pakistan telah mengenakan semula sekatan terhadap dua badan kebajikan yang dikaitkan dengan pengasas kumpulan Jaish-e-Mohammed (JeM).
Kumpulan JeM mengaku bertanggungjawab dalam serangan tersebut.
Dua badan kebajikan berkenaan, Jamaat-ud-Dawa (JuD) dan Yayasan Falah-e-Insaniat (FIF) ditubuhkan oleh Hafiz Saeed, yang telah lama berada dalam senarai pengganas antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Hafiz juga merupakan pengasas sebuah lagi kumpulan militan Lashkar-e-Taiba (LeT).
Sekatan tersebut diputuskan selepas Pakistan berdepan tekanan antarabangsa untuk bertindak terhadap kumpulan militan.
INDIA DITUNTUT KEMUKA BUKTI
Terdahulu, Pakistan menuntut India agar mengemukakan bukti susulan tuduhan bahawa Pakistan menyokong kumpulan pemberontak Kashmir.
Dalam perkembangan berkaitan, India bertindak menghentikan aktiviti perdagangan dan perkhidmatan bas utama di bahagian dikuasai Pakistan di Kashmir.
Selain itu, India juga mendesak agar Pakistan diletakkan dalam senarai pemantauan pembiayaan pengganas.
Dua pegawai kerajaan India yang tidak didedahkan identitinya berkata, mereka telah mengemukakan maklumat baharu kepada Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF) berkaitan Pakistan selepas insiden pengeboman kereta di daerah Pulwama, Kashmir minggu lalu.
Seorang lagi pegawai kerajaan India yang turut tidak mendedahkan identitinya berkata, butiran mengenai operasi JeM telah diserahkan kepada FATF.
SUNGAI INDUS TAMBAH KONFLIK?
Dalam perkembangan berlainan, India mengulangi rancangan untuk menyekat aliran air Sungai Indus ke Pakistan sebagai usaha untuk memberi tekanan kepada Pakistan susulan serangan di Kashmir.
“Kerajaan India telah memutuskan untuk menghentikan perkongsian air sungai kami ke Pakistan,” kata Menteri Pengangkutan dan Sumber Air, Nitin Gadkari menerusi Twitter.
Tambah beliau, India akan mengalihkan aliran air dari bahagian timur sungai berkenaan dan membekalkannya kepada penduduk negeri Jammu, Kashmir dan Punjab.










