ALOR SETAR 20 Feb. – Tembok Istana Anak Bukit di Jalan Anak Bukit, di sini disimbah cat berwarna hitam yang dipercayai dilakukan pihak tidak bertanggungjawab, awal pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid berkata, kejadian itu dikesan pada pukul 1.26 pagi dan polis kini sedang mengesan pihak yang melakukan perbuatan itu.
“Satu laporan polis telah dibuat dan kami kini sedang melakukan siasatan terperinci untuk mengesan dalang di sebalik kejadian ini.
“Polis juga sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang berada di sekitar tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.
Tambah Mior Faridalatrash, kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat yang boleh membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, denda atau kedua-duanya dan jika gagal membayar denda akan dikenakan hukuman penjara tiga bulan.
Pada 9 Januari lalu, seorang lelaki yang dipercayai mabuk gagal mengawal kenderaan dipandunya lalu merempuh tembok hadapan Istana Anak Bukit sehingga menyebabkan kereta Honda Civic dinaikinya remuk di bahagian hadapan selain keempat-empat tayarnya pecah. – UTUSAN ONLINE










