Tanggam sokong isteri jadi calon DUN Rantau - Utusan Malaysia

Tanggam sokong isteri jadi calon DUN Rantau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 23 Feb. – Ketua PKR Cabang Rembau, R. Tanggam hari ini menyifatkan Ketua Wanita cabang itu, K. Bathmavathi sebagai calon yang sesuai untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Katanya, Bathmavathi yang merupakan Timbalan Ketua Wanita PKR negeri adalah anak tempatan dan sememangnya dikenali pengundi di DUN berkenaan.

Untuk rekod, Bathmavathi adalah isteri kepada Tanggam.

“Kita bagi laluan kepada wanita dan hormati golongan itu. Seperti yang kita tahu terdapat 30 peratus pengundi wanita di Negeri Sembilan tapi tidak ada satu pun wanita PKR dicalonkan.

“Bathmavathi sesuai jadi calon mewakili Pakatan Harapan kerana beliau sudah 10 tahun terlibat dalam politik dan pernah menjadi Ketua Wanita PKR Cabang Rasah.

“Sebelum ini pun PKR pernah meletakkan calon wanita bertanding di Rantau dalam dua pilihan raya umum,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Selain Tanggam, Bathmavathi adalah antara individu yang dicadangkan cabang berkenaan kepada pucuk pimpinan PKR untuk bertanding di kerusi berkenaan.

Tanggam berkata, beliau juga menyokong kenyataan Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin baru-baru ini yang mahu parti itu meletakkan calon wanita di DUN Rantau.

Sementara itu, beliau berkata, calon dari kaum India wajar dipilih untuk bertanding kerana jumlah pengundi kaum itu yang besar di kerusi DUN berkenaan.

Jelasnya, terdapat 48 peratus pengundi bukan Melayu di kawasan itu dengan kira-kira 30 peratus daripadanya adalah kaum India.

“Pada tahun 70-an dulu, Rantau adalah kerusi milik MIC. Kita juga setuju bahawa kawasan ini ramai pengundi bukan Melayu dan Islam, maka patut letakkan calon kaum India kerana pengundinya ramai,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN